Rabu, 6 April 2016 | 12:17am
PERSEMBAHAN Caliph Busker. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
PERSEMBAHAN Caliph Busker. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
PERSEMBAHAN tarian daripada OKU cacat penglihatan dari Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) juga menggaumkan hadirin. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
PERSEMBAHAN tarian daripada OKU cacat penglihatan dari Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) juga menggaumkan hadirin. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Deafbeat Malaysia bukti orang pekak boleh


KUALA LUMPUR: Memukul gendang beramai-ramai dalam satu irama biasanya memerlukan kepekaan tinggi pada setiap pemain dan tajam pendengaran.

Bagaimanapun, pukulan gendang Cina dengan nada seirama yang dipersembahkan oleh lima anak muda cacat pendengaran dan pertuturan daripada Kumpulan Deafbeat Malaysia memukau hadirin.

Ini kerana mereka tidak boleh mendengar, deria yang mustahak bagi memastikan irama tidak sumbang dan menentukan "kesamaan" pukulan.

Mereka bergantung sepenuhnya kepada getaran daripada bunyian gendang serta hafalan gerakan tangan membuktikan seni tidak terbatas kepada individu yang sempurna anggota.

Tanpa deria mendengar dan berkata-kata, paluan gendang bergema dalam persembahan bersempena Malam Budaya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM): Inspirasi 2016 di Dewan Tun Abdul Razak (DECTAR) UKM, Bangi, baru-baru ini.

Persembahan yang mengetengahkan bakat orang kurang upaya (OKU) itu, membuka mata khalayak untuk lebih menghargai seni budaya dan warisan bangsa yang semakin ditinggalkan.

Persembahan hebat dan penuh bersemangat ketika Kumpulan Deafbeat daripada Pusat Majudiri Y kendalian pertubuhan bukan kerajaan (NGO), YMCA itu beraksi dengan mengenakan pakaian tradisional Cina begitu menarik terutama alunan irama serentak dan ketukan pantas yang sinonim dengan muzik gendang Cina.

OKU pekak dan bisu membuat persembahan pada Program inspirasi UKM yang diadakan di UKM, Bangi. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
OKU pekak dan bisu membuat persembahan pada Program inspirasi UKM yang diadakan di UKM, Bangi. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Hebat, tanpa dengar ketukan

Pengurus Deafbeat Malaysia, Morley Ng, ketika ditemui berkata, bukan mudah untuk OKU cacat pendengaran seperti mereka untuk bermain gendang kerana bukan saja tidak dapat berkomunikasi dengan rakan di pentas, bahkan langsung tidak boleh mendengar sama ada ketukan itu sumbang atau tidak.

"Ahli Deafbeat dianggotai kebanyakannya OKU cacat pendengaran, berusia antara 20 hingga 30-an, menunjukkan kesungguhan yang tinggi untuk belajar, dengan tunjuk ajar guru gendang Cina terlatih di samping rajin menonton video persembahan muzik berkenaan di laman Youtube.

"Walaupun serba kekurangan, kebolehan mereka di pentas tidak dapat disangkal hingga dijemput beraksi ke pelbagai festival seni luar negara termasuk di Poland dan Kemboja.

"Mereka bukan saja boleh bermain gendang dalam irama tradisional yang selalu dipersembahkan pada acara kebudayaan Cina, bahkan turut belajar paluan moden kontemporari bagi disesuaikan perkembangan seni mutakhir," katanya.

Permainan pentas ketika bermain gendang dan memalu secara bersilang paling mempesonakan, terutama kecekapan tangan beraksi sambil mengingati gerak.

MEREKA menghafal gerakan tangan rakan dan getaran gendang untuk membentuk kesamaan rentak dan irama. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
MEREKA menghafal gerakan tangan rakan dan getaran gendang untuk membentuk kesamaan rentak dan irama. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Kuasai tarian rumit

Selain persembahan Deafbeat Malaysia, turut membuat kemunculan ialah persembahan tarian oleh OKU cacat penglihatan daripada Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) yang beraksi dalam tarian kebudayaan India.

Mengenakan kostum tradisional India, keupayaan menghafal lenggok tari yang agak rumit dengan kelajuan muzik dilihat bukan halangan, bahkan jeritan mereka turut kedengaran dalam mengira setiap gerak bagi mengelakkan daripada kehilangan rentak.

Tidak ketinggalan, kemunculan kumpulan muzik dianggotai OKU cacat penglihatan Caliph Buskers yang semakin mendapat tempat dalam industri hiburan tanah air dengan mendendangkan lagu single berunsur kerohanian bertajuk Hanya Namamu sebagai penutup acara.

Acara anjuran Eksekutif Kebudayaan dan Warisan, Kolej Ibrahim Yaakub UKM itu juga bermatlamat mengutip derma bagi membantu OKU yang memerlukan, sambil menampilkan bakat besar dalam bidang seni dan kebudayaan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X