Rabu, 6 April 2016 | 12:22am
DAYANG Nurfaizah, suatu masa dulu pernah dijadikan bahan gurauan. - Foto Shiraz Ali

Diejek bersuara itik serati, Dayang Nurfaizah terus cemerlang


SIAPA sangka penerima gelaran vokal terbaik, Dayang Nurfaizah, suatu masa dulu pernah dijadikan bahan gurauan dalam kalangan rakan yang mengejeknya bersuara itik serati apabila bercakap.

Walaupun memahami mereka sekadar mengusik, lama-kelamaan perkara yang diluahkan hampir setiap kali memulakan perbualan memberi tekanan emosi terhadap dirinya.

Dayang atau nama sebenarnya, Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 34, berkata memori zaman kecil itu kemudian terbawa-bawa tatkala memasuki industri muzik, sekali gus menjadikannya pendiam hingga pernah dianggap sombong.

"Sebenarnya ketika mula-mula datang ke Kuala Lumpur dulu, saya tidak banyak bercakap mengenangkan pernah disamakan dengan itik serati. Jadi waktu itu saya fikir lebih baik berbual apabila perlu saja.

"Selepas itu pula, ada yang salah anggap dan mengatakan saya 'berat mulut' atau sombong sedangkan hakikatnya kalau boleh saya tidak mahu ada yang perasan mengenai kelainan suara saya apabila berbual dengan menyanyi.

DAYANG Nurfaizah. - Foto Shiraz Ali

"Mungkin kedengaran agak lucu, tetapi sebagai budak saya mengambil serius ejekan itu, sekali gus perasaan rendah diri terus menebal sekali pun peluang bergelar penyanyi terbuka di depan mata beberapa tahun selepas itu," katanya mengenang memori lalu.

Mujur sikap kurang bercakap hanya pada awal kemunculannya dalam industri sekitar 1999 kerana sokongan insan sekeliling membuatkan Dayang dapat mengembalikan keyakinan diri sama ada ketika berdepan peminat mahu pun media.

Malah sepanjang 18 tahun bergelar penyanyi, beliau antara selebriti yang paling mudah didekati dan peramah sekali gus disenangi banyak pihak termasuk penganjur persembahan.

Dedah anak jati bumi Kenyalang itu lagi, beliau juga bertuah kerana ikatan kekeluargaan yang akrab membuatkan setiap kali menangis, ibunya memberikan kata-kata semangat dan memuji keenakan dendangannya.

"Memang kadang kala saya menangis jika diejek apatah lagi berbanding adik-beradik lain kulit saya lebih gelap hingga mendapat pula panggilan Dayang Senandung. Tetapi emak pandai memujuk.

"Katanya saya punya kelebihan menyanyi dan harus membuktikan budak yang bersuara itik serati tetap mampu memenangi banyak piala. Pujukan emak selalunya mencairkan hati saya.

PERSEMBAHAN daripada Dayang Nurfaizah sempena Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro di Setia City Mall Park, Shah Alam.- Foto Shazreen Zamzuri

"Kalau ikutkan, sejak kecil banyak pertandingan nyanyian saya sertai. Awal dulu malu juga menyanyi depan ramai orang, tetapi saya anggap saya orang yang menonton pertandingan itu sebagai peminat," kongsinya lagi yang gemar mencabar diri menyertai pertandingan sejak zaman sekolah.

Menyelak perjalanan kerjaya sejak berusia 18 tahun, aneka pengiktirafan diraih baik dari segi persembahan vokal mahu pun lagu bersandarkan lapan album studionya dengan terakhir pada 2011 yang diterbitkan sendiri berjudul Sayang & Cahaya .

Terkini, penyanyi yang menyerlah dengan lagu Tak Pernah Menyerah berada dalam senarai Top 5 Penyanyi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH 29 (ABPBH 29) bersaing dengan Adira, Ayda Jebat, Aisyah Aziz dan Eleena Haris.

Berita Harian X