Rabu, 6 April 2016 | 2:37pm

Celcom Axiata lancarkan pelan Phone Care

KUALA LUMPUR: Celcom Axiata Bhd telah melancarkan Phone Care, pelan penggantian dan pertukaran telefon bagi membantu pelanggan untuk terus berhubung dengan orang tersayang.

Phone Care adalah perkhidmatan penjagaan alat peranti pertama di Malaysia yang membolehkan pelanggan menukar atau menggantikan telefon serta tablet mereka untuk apa-apa sebab, dengan harga langganan yang berpatutan iaitu dari serendah RM4 sebulan atau RM20 selama enam bulan.

Ketua Perkhidmatan Pelanggan dan Pegawai Operasi Touchpoint, Syed Md Najib Syed Md Noor, berkata pelan baharu itu boleh dilanggan melalui Blue Cube dan rakan kongsi Celcom Xclusive yang terpilih di seluruh negara.

"Syarikat telekomunikasi itu kini menyediakan perkhidmatan pelanggan yang lebih luas bagi memastikan pelanggan mendapat pengalaman yang maksimum, dengan sokongan rangkaian 4G LTE yang paling meluas dan kukuh," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pelanggan pasca bayar dan prabayar boleh mendaftar dalam Phone Care di semua kedai Celcom yang mengambil bahagian dengan pakej atau peranti yang dibeli kurang daripada 30 hari melalui kedai lain. - BERNAMA

dibaca
Berita Harian X