Rabu, 6 April 2016 | 4:22pm

Indonesia rancang kurangkan cukai pendapatan

Bambang Brodjonegoro.
Bambang Brodjonegoro.

JAKARTA: Indonesia merancang mengurangkan kadar cukai pendapatan bagi individu sejajar usaha negara itu untuk mendapatkan pematuhan cukai yang lebih baik.

"Kami akan menjadikan cukai pendapatan bagi individu dan syarikat lebih berdaya saing," kata Menteri Kewangan, Bambang Brodjonegoro.

Beliau sebelum ini berkata, beberapa kadar cukai untuk syarikat perlu diturunkan. Kadar cukai semasa bagi individu di Indonesia bermula dari lima hingga 30 peratus.

Beliau berkata, undang-undang cukai pendapatan semasa akan dikaji semula, tetapi tidak memberi apa-apa butiran mengenai perubahan apa yang beliau akan lakukan atau tempoh masa terdekat untuk mengemukakan cadangan kepada Parlimen bagi menukar undang-undang cukai.

Indonesia mengalami kekurangan pendapatan bajet ketara tahun ini, yang mendorong usaha untuk meningkatkan kutipan cukai daripada individu.

Hanya ada 27 juta pembayar cukai berdaftar di Indonesia yang mana menurut pejabat cukai, jumlah pembayar cukai sepatutnya adalah 120 juta.

Sementara itu, Brodjonegoro berkata, pihak berkuasa cukai Indonesia akan meneliti pembayar cukai yang dinamakan dalam data bocor daripada sebuah firma undang-undang Panama sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengejar aset luar pesisir mereka yang tidak diisytiharkan.

"Saya sudah maklumkan pejabat cukai untuk mengkaji data dalam Panama Papers. Kami akan mengesahkan data yang kita ada sekarang dengan dokumen-dokumen atau menggunakannya sepenuhnya," katanya.

Brodjonegoro berkata, pejabat cukai sudahpun mempunyai set data yang berasingan mengenai "syarikat-syarikat kertas" Indonesia telah ditubuhkan di negara-negara syurga cukai yang diperoleh daripada sumber yang berbeza, sambil menambah bahawa pihak berkuasa telah mula menyemaknya.

Brodjonegoro hari ini menegaskan, beliau berharap rancangan pengampunan cukai akan menghalang syarikat daripada mendapatkan perjanjian cukai.

Pengampunan itu yang menawarkan diskaun cukai yang besar kepada individu dan syarikat yang mengisytiharkan kekayaan tidak dicukai yang disembunyikan, akan membolehkan syarikat tujuan khas untuk mengisytiharkan atau menghantar pulang wang disimpan di luar negara.

Hasil negara bagi Indonesia yang kaya dengan sumber dijangka terlepas sasaran 2016 sebanyak 250 trilion rupiah (RM73.55 bilion), berdasarkan ramalan rasmi, kerana harga komoditi yang kekal rendah.

Brodjonegoro berkata, pendapatan tambahan daripada rancangan pengampunan boleh menampung sebahagian daripada kekurangan itu.

Parlimen akan mula membahaskan rang undang-undang pengampunan cukai bulan ini. - Reuters

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X