Rabu, 6 April 2016 | 10:41pm

Jimmy Shanley papar resit bukti beri nafkah anak

JIMMY dan anaknya, Zahra Rania.
JIMMY dan anaknya, Zahra Rania.

KUALA LUMPUR: Pelakon Jimmy Shanley menolak dakwaan bekas ibu mentuanya, kononnya beliau tidak memberikan nafkah kepada anaknya, Zahra Rania, 4.

Jimmy atau nama sebenarnya Jimmy Shanley Norjahan Salleh, 35, menerusi akaun Instagram, mendedahkan resit-resit sebagai bukti beliau memasukkan wang nafkah ke akaun bank keluarga bekas isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimi.

Secara sinis, Jimmy 'melarang' anak keduanya, Hannah, daripada bermain dengan resit berkenaan.

"Wahai anakku, jangan main dengan slip bank itu. Penat daddy simpan slip bank nafkah janda daddy walaupun tak duduk sesama pun dan nafkah kakak. Dari bulan Oktober 2010 sampailah ke April 2016 ni tak pernah lagi tercicir walaupun sebulan.

"Daddy bank in sendiri ke akaun MBB 56274010****. Daddy bukanlah orang berada, beri sekadar mampu tapi yang penting beringat dan lebih dari satu sen," katanya.

Jimmy turut mendedahkan nombor akaun yang diberikan bekas ibu mentuanya selepas beberapa minggu berkahwin dengan Nursuhaila pada 1 Oktober 2010.

"Mana daddy dapat nombor akaun ini? Ooo...Ini bekas mak mentua yang beri selepas beberapa minggu kahwin dulu. Daddy malas nak bising-bising, nanti dituduh cari publisiti murahan pula. Allah Maha Mengetahui," katanya.

JIMMY mendedahkan resit wang nafkah ke akaun bank keluarga bekas isterinya menerusi akaun Instagram miliknya.
JIMMY mendedahkan resit wang nafkah ke akaun bank keluarga bekas isterinya menerusi akaun Instagram miliknya.

Khamis lalu, Mahkamah Rayuan Syariah mengarahkan Nursuhaila menjalani hukuman tiga hari penjara berikutan didapati bersalah mengingkari perintah berhubung hal lawatan dan bermalam membabitkan anak mereka, Zahra.

Jimmy, ketika dihubungi BH Online, berkata beliau enggan membuat kenyataan secara berlebihan mengenai kes itu, sebaliknya berkongsi kebahagiaannya bersama isteri baharu, Mariam Jamilah Abdul Jalil, bersama anak mereka, Hannah, 11 bulan.

"Saya tidak mahu komen lagi perkara yang sudah berlaku. Apapun, Alhamdulillah, setiap hari saya sibuk menjaga Hannah.

"Jika terlalu bercakap mengenai perkara lain, takut nanti jadi macam tukul dan skru," katanya yang kini mengendalikan program Akademi Silat Pendekar Muda siaran TV AlHijrah.

Berita Harian X