Rabu, 6 April 2016 | 10:48pm

Jin Wei Atlet Muda Terbaik SAM-100Plus

JUARA Kejohanan Badminton Remaja Dunia, Goh Jin Wei . - Foto Goh Thean Howe
JUARA Kejohanan Badminton Remaja Dunia, Goh Jin Wei . - Foto Goh Thean Howe

KUALA LUMPUR: Juara Kejohanan Badminton Remaja Dunia, Goh Jin Wei dipilih sebagai pemenang Anugerah Atlet Muda Terbaik SAM-100Plus 2015.

Anugerah itu adalah bagi menghargai pemain berusia 15 tahun itu yang mencipta sejarah sebagai pemain remaja wanita pertama Malaysia memenangi Kejohanan Remaja Dunia di Lima, Peru tahun lalu, sekali gus pemenang kedua termuda menjulang gelaran itu.

"Rentetan kejayaan demi kejayaan diraih pemain muda itu membolehkan beliau dipilih sebagai Atlet Muda Terbaik pada Anugerah SAM-100Plus 2015," kata Pengerusi Jawatankuasa Bersama Anugerah SAM-100Plus 2015, Izahar Atan.

"Dalam usia yang masih muda, Jin Wei mempunyai masa panjang untuk terus menyerlah dalam arena badminton," kata Izahar yang juga Naib Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) dalam kenyataan hari ini.

Atlet berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu mula bermain badminton sebagai hobi pada usia enam tahun sebelum bapanya menyedari bakatnya dan membawa Jin Wei berlatih di bawah bimbingan Teh Beng Huat, bekas jurulatih jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei.

Sepanjang 2015, beliau juga memenangi pingat emas perseorangan dalam temasya Sukan Sekolah-sekolah ASEAN di Brunei dan gangsa pada Sukan SEA di Singapura.

Tahun lalu, anugerah itu diberikan kepada Muizzuddin Musyaffa Abdul Gafar daripada sukan permotoran yang muncul juara dalam saingan Siri Piala Juara-Juara Go-Kart Dunia (WSK) bagi kelas 60 Mini di Itali pada 2014. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X