Selasa, 28 Oktober 2014 | 12:36pm

Anugerah Skrin 2014 perkenal dua kategori baharu

TUJUH penyeri Anugerah Skrin 2014. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

KUALA LUMPUR: Tahun lalu drama Mawar Putih Tanda Perpisahan merangkul trofi Drama Terbaik, Videografi Terbaik dan Lakon TV Terbaik manakala drama Aku Bukan Malaikat pula berjaya merangkul trofi Pengarah Terbaik Drama dan Pelakon Wanita Terbaik Drama.

Sejak diperkenalkan pada tahun 1994, Anugerah Skrin (ASK) anjuran TV3 meneruskan usaha untuk menjulang bakat dan memberi pengiktirafan kepada penggiat seni dan karyawan tanah air. ASK 2014 kali ini akan bersiaran pada 7 November.

Dipancarkan secara langsung dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur bermula 9 hingga 11.30 malam, ASK 2014 mempertaruhkan 31 kategori yang merangkumi drama, filem, penerbitan dalaman dan teknikal.

Utuh memasuki musim yang ke-15, ASK 2014 antara majlis terunggul di dalam lipatan sejarah industri tanah air yang sentiasa ditunggu-tunggu penganjurannya saban tahun kerana cetusan konsep dan identiti yang berlainan.

Tahun ini, ASK 2014 telah memilih tema 'elegan dan klasik' sebagai konsep keseluruhan untuk persembahan malam nanti.

"Anugerah Skrin telah memasuki tempoh usia matang yang mana ia dinanti-nantikan oleh karyawan dan artis tanah air untuk menjulang nama mereka. Oleh itu, penganjuran Anugerah Skrin bukan saja memberi ruang kepada penggiat seni untuk memperkembangkan lagi bakat seni.

"Malah ia juga menggalakkan mereka berusaha lebih gigih dan berkarya secara kreatif dalam menghasilkan produk yang bermutu tinggi sekali gus memartabatkan hasil seni negara disamping menyampaikan mesej yang boleh dijadikan iktibar," kata Cik Sherina Nordin selaku Pengurus Besar Kumpulan, TV3 & TV9.

Tahun ini, ASK 2014 turut memperkenalkan dua kategori baharu bagi memenuhi peredaran masa yang kini aktif dengan media sosial dan juga peruntukan bajet dalam menghasilkan kelainan dan pengisian produksi terbaik iaitu 'Drama Bersiri Terbaik Di Laman Sosial' dan 'Drama Premium Terbaik'.

Drama Bersiri Terbaik di Laman Sosial akan memberi pengiktirafan kepada drama bersiri yang menjadi bualan hangat penonton di laman sosial media sewaktu siaran dan juga mendapat 'trending' di laman sosial pada setiap episod atau semasa waktu bersiaran.

Kategori Drama Premium Terbaik pula terbuka kepada peruntukan drama yang bernilai RM150,000 ke atas dan mempunyai nilai sinematografi dan fotografi yang artistik. Pemenang bagi kategori Drama Bersiri Terbaik di Laman Sosial bakal ditentukan oleh jumlah undian orang ramai menerusi laman Twitter bermula 24 Oktober lalu hingga 7 November 2014.

Lima drama bersiri yang tercalon iaitu Ariana Rose (#ask2014#undiariana), Ammara Batrisya (#ask2014#ammara), Evolusi KL Drift The Series (#ask2014#evolusi), What If (#ask2014#undiwhatif) dan Aku Ada Wali (#ask2014#undiwali).

Cara mengundi adalah menerusi akaun Twitter. Untuk mengundi drama pilihan anda sila taip #ask2014#undi diikuti dengan menekan butang 'Hantar'. Sebagai contoh, taip #ask2014#undiariana untuk drama bersiri Ariana Rose. Akaun Twitter anda perlu ditetapkan untuk tatapan umum bagi proses pengiraan undi.

ASK 2014 menampilkan Fahrin Ahmad sebagai hos dan bakal bergandingan dengan selebriti-selebriti popular dalam setiap segmen, antaranya, Zul Ariffin, Nabila Huda, Shukri Yahaya, Tasha Shilla, Fiza Sabjahan, Fara Fauzana dan Amyra Rosli untuk mengemudikan majlis penganugerahan

Manakala acara karpet merah akan dikendalikan oleh Hani Hatim dan Aidid Marcello menerusi HIP TV (TV9). Malam kemuncak ASK 2014 bakal menyaksikan persembahan nyanyian mantap yang merangkumi pelbagai genre muzik oleh DJ Fuzz, Dikir Warriors, Waris & Iwere (Dikir Barat), Azlan The Typewriter, Black & Hafiz (Balada), Stacy (Irama Malaysia) dan Ella (Jazz).

Saksikan juga teater muzikal yang diarahkan oleh Erma Fatima dan persembahan muzikal parodi yang akan dikendalikan oleh Adlin Aman Ramlie.

Selain menonton secara siaran langsung di TV3, siaran langsung keseluruhan acara yang bermula dengan karpet merah pada jam 8.00 malam juga boleh dilayari secara global melalui komputer, tablet dan telefon pintar di laman web rasmi ASK 2014 www.anugerahskrin.com.

TV9 juga tidak ketinggalan menyiarkan acara karpet merah menerusi program HIP TV dari 8.30 malam hingga 9.00 malam. Menerusi laman web rasmi ASK 2014, peraduan online #askceritaku mencari cerita pendek yang paling kreatif dan menarik tidak lebih daripada 300 patah perkataan bermula dari 10 Oktober lalu hingga 1 November.

10 cerita pendek terbaik akan dipamerkan di laman web rasmi ASK 2014 untuk undian orang ramai bermula 1 hingga 7 November 2014. Mereka juga berpeluang menerima undangan khas menghadiri malam kemuncak ASK 2014.

Lima pemenang yang bakal diumumkan pada malam kemuncak Anugerah Skrin 2014 akan menerima undangan untuk membentangkan karya di sesi pembentangan idea Media Prima Berhad.

Selain itu, satu lagi peraduan online yang menarik ialah muat naik gambar selfie anda di instagram berserta hashtag #ASK2014 dan nyatakan sebab anda ingin keluar bersama Fahrin Ahmad (hos ASK 2014) untuk menangi pas ke Post Party ASK 2014 dan 'Lunch Date' bersama Fahrin Ahmad.

Saksikan juga klip video eksklusif Fahrin Ahmad mengenai rutin harian dan juga persiapannya untuk ASK 2014 di laman web ini dari 1 hingga 6 November 2014.

Merancakkan lagi ASK 2014 tahun ini, peminat juga boleh menerokai 'Tonton Music' untuk berhibur dengan pilihan terbaik audio persembahan Anugerah Skrin dari tahun 2011 sehingga 2013 serta lagu pilihan 'OST Drama' dan 'OST Filem'!

Semua rakaman nyanyian secara langsung malam kemuncak ASK 2014 juga bakal dimuatkan di Tonton Music. Layari www.tontonmusic.com.my untuk maklumat lanjut.

Jangan ketinggalan juga untuk menyaksikan program 'Menjelang ASK 2014' yang dihoskan oleh Fizi HotFm dan Suraya pada 7 November jam 4.30 petang dengan paparan menarik mengenai detik di belakang tabir ASK 2014, kemeriahan Jelajah ASK 2014 dan juga persiapan artis.

Persiapan pihak produksi di PWTC juga dapat ditonton menerusi lintas langsung eksklusif sepanjang hari (7 November) dari jam 10 pagi sehingga 8 malam.

'Gemilang ASK 2014' yang bakal disiarkan pada 11 November 2014 jam 11.00 malam pula akan berkongsi klip video eksklusif dan momen yang tidak disiarkan semasa berlangsungnya karpet merah, fesyen ASK 2014 dan juga ucapan para pemenang ASK 2014.

ASK 2014 turut dihangatkan oleh stesen radio Hot FM selaku rakan media. Sidang penerbitan ASK 2014 diketuai oleh Puan Khalijah Mohamed selaku Penerbit Eksekutif dan Azman Abdul Gafar sebagai penerbit.

Layari laman web rasmi ASK 2014 www.anugerahskrin.com dan www.tv3.com.my serta laman sosial Facebook, Twitter & Instagram TV3Malaysia untuk mendapatkan berita terkini. Pengguna laman sosial Twitter juga boleh menggunakan #ask2014 untuk menghangatkan lagi acara Anugerah Skrin 2014.

Berita Harian X