Khamis, 7 April 2016 | 9:33am
Wartawan Australia, Demjin Doroschenko.

Wartawan enggan pulangkan objek, serpihan MH17


Barangan yang dipungutnya dari lokasi kejadian nahas pesawat MH17 berdekatan sempadan Ukraine-Russia.

SYDNEY: Polis Australia memberi amaran kepada seorang warga negaranya supaya memulangkan serpihan dan barangan yang dipungutnya dari lokasi kejadian nahas pesawat MH17 berdekatan sempadan Ukraine-Russia.

Generasi pertama Australia-Ukraine, Demjin Doroschenko dikatakan berada di wilayah berkenaan untuk bekerja sebagai wartawan bebas ketika pesawat MH17 ditembak jatuh.

Pesawat penumpang berkenaan meletup di udara pada Julai 2014 mengorbankan semua 298 orang di dalam pesawat.

Kebanyakan penumpang di dalam pesawat itu adalah warga Belanda dan Lembaga Keselamatan Belanda tahun lalu berkata, pesawat itu ditembak jatuh oleh peluru berpandu BUK buatan Russia.

Doroschenko, 45, berkata dia antara orang pertama yang tiba di lokasi nahas dan menubuhkan apa yang dinamakan pasukan penyelamat sendiri, Donbass Recovery Team.

Dia memungut ratusan objek bukti sebagai bahan simpanannya yang tidak ditemui oleh tentera Russia.

"Ia perlu diselamatkan atau Russia akan menggunakan sebarang objek lain untuk tindakannya menentang kes yang dibentangkan oleh Pasukan Penyiasat Bersama (JIT)," katanya.

Dia juga mendakwa sudah menyerahkan beberapa serpihan berkenaan kepada pihak berkuasa di Kiev namun masih menyimpan ratusan yang lain.

Doroschenko, yang dilaporkan masih di Ukraine, berkata dia baru-baru ini menawarkan barangan berkenaan kepada agensi berita, AFP dan pihak berkuasa Belanda yang mengetuai JIT, dan menuntut pembayaran kos pengangkutannya namun pihak berkenaan enggan berbuat demikian.

AFP berkata, mereka menyedari objek berkenaan adalah barangan peribadi penumpang dari Australia yang diambil dari lokasi nahas dan sudah memberi amaran kepada Doroschenko.

"Barangan berkenaan diambil dari tapak nahas MH17 dan ia tidak sepatutnya digunakan untuk tujuan mendapatkan keuntungan dan habuan," kata jurucakap AFP.

"Jika ini dilakukan boleh memberi kesan kepada keluarga dan waris mangsa yang mahu penyiasat mendapatkan seberapa banyak bahan bukti terhadap nahas itu.

"AFP dan JIT sedar bahawa Doroschenko melawat tapak nahas MH17 dan kami membantunya bagaimana untuk memberikan objek atau serpihan berkenaan kepada JIT.

"Sebarang kesalahan jenayah membabitkan pengambilan harta milik mangsa MH17 (termasuk Malaysia Airlines) adalah di bawah bidang kuasa kerajaan Ukraine dan Malaysia," kata AFP.

Doroschenko berkata, dia tidak mahu mengikuti protokol pemulangan yang perlu melalui Datuk Bandar tempatan yang didakwanya bekerjasama dengan tentera Russia.

Pada Januari lalu, dia ditahan oleh pegawai sempadan Ukraine dan disoal siasat mengenai pekerjaannya di kawasan itu sebelum dibebaskan.

Salah satu daripada ratusan objek yang didakwa berada dalam simpanannya ialah beg galas belakang milik mangsa dari Toowoomba, Jill Guard. - ABC/RNZ

123 dibaca
Berita Harian X