Jumaat, 8 April 2016 | 10:13am

Mayat kanak-kanak disambar buaya ditemui

MAYAT kanak-kanak yang disambar buaya petang semalam, ditemui pagi tadi.
MAYAT kanak-kanak yang disambar buaya petang semalam, ditemui pagi tadi.

SAMARAHAN: Mayat kanak-kanak perempuan yang disambar buaya di Kampung Sungai Mata di sini, petang semalam, ditemui pagi tadi.

Erlieyseha Abdul Rahim, dua tahun enam bulan, ditemui dalam keadaan lengkap oleh anggota pasukan mencari dan menyelamat serta penduduk kampung pada jam 8.55 pagi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Farhan Sufyan Borhan, berkata mayat mangsa ditemui kira-kira 10 meter dari lokasi dia dilaporkan disambar reptilia itu.

"Kita mengesan kesan gigitan di belakang bahu dan kecederaan kecil di beberapa bahagian badan," katanya.

Mangsa disambar buaya ketika mandi bersama bapanya, Abdul Rahim Maarof, 26, di sungai berdekatan rumah mereka di ladang kelapa sawit di kampung berkenaan kira-kira jam 6 petang semalam.

Seekor buaya dilaporkan muncul secara tiba-tiba lalu menyambar kanak-kanak berkenaan.

Abdul Rahim yang bergelut dengan buaya itu ketika cuba menyelamatkan anaknya, turut cedera apabila tangan kirinya hampir putus digigit reptilia itu.

Berita Harian X