Jumaat, 8 April 2016 | 10:26am

Kualiti udara pantai barat Sabah semakin pulih

ANGGOTA bomba berusaha memadam kebakaran kawasan paya gambut di Hutan Simpan Binsuluk, Beaufort. - Foto bomba

KOTA KINABALU: Keadaan jerebu yang melanda kawasan pantai barat negeri ini khususnya Beaufort, Kuala Penyu, Papar dan ibu negeri semakin pulih dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatat bacaan sederhana setakat jam 8 pagi ini.

Berdasarkan maklumat Bilik Kawalan Jabatan Alam Sekitar Sabah (JAS), bacaan IPU setakat jam 6 pagi ini di Kota Klias, Beaufort ialah 79, manakala di Membakut merekodkan bacaan 82.

Bacaan IPU pada jam yang sama semalam ialah 89 di Kota Klias, manakala di Membakut ialah 93.

IPU di kawasan berkenaan mencatat bacaan sangat tidak sihat iaitu melebihi 200 pada akhir minggu lalu menyebabkan 77 sekolah di Beaufort, Kuala Penyu dan Papar ditutup pada Isnin, manakala 82 sekolah ditutup pada Selasa.

Bagi kawasan ibu negeri, bacaan IPU setakat jam 8 pagi ini ialah 55, manakala di Keningau (53).

Sementara itu, operasi memadam kebakaran di Hutan Simpan Tanah Gambut Binsuluk seluas 200 hektar diteruskan pagi ini membabitkan 134 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan 80 anggota Jabatan Perhutanan Sabah selain bantuan bomba sukarela.

Kebakaran Hutan Simpan Paya Gambut Binsuluk dan Hutan Simpan Klias serta beberapa  hutan di kawasan berhampiran dikenal pasti antara punca jerebu teruk yang melanda Beaufort, Kuala Penyu dan Papar.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Sabah, Khairul Azuwan Ibrahim, berkata operasi pada hari ini menumpukan kerja memadam kebakaran dan pembinaan laluan masuk ke kawasan yang masih terbakar di Kampung Lumat-Takuli dan Pansung.

Katanya, kerja pembinaan laluan itu dan membuat benteng api di Tandau dalam kawasan Hutan Simpan Binsuluk dilakukan Jabatan Perhutanan Sabah.

Selain di Beaufort, JBPM Sabah turut melaksanakan pemadaman kebakaran di Hutan Simpan Trusmadi di Tambunan menerusi operasi pengeboman air menggunakan pesawat MI 171 hari ini.

Sementara itu, kebakaran membabitkan kawasan hutan seluas kira-kira 11 hektar di Bongawan, Papar dan Hutan Simpan Klias di Beaufort (20 hektar) sudah dipadamkan sepenuhnya.

OPS Kebakaran di Hutan Simpan Binsuluk, Beaufort, menggunakan kaedah pengeboman air menggunakan pesawat MI 171. - Foto bomba

Berita Harian X