Jumaat, 8 April 2016 | 11:03am

JPA keluar surat tukar 50 pegawai pegang jawatan sensitif


ZABIDI berucap sebelum melancarkan 1Serve Transit Lounge @JPA4U di Kompleks C, Putrajaya, hari ini. - Foto Fariz Iswadi Ismail

PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dijangka selesai mengeluarkan surat pertukaran kepada 50 pegawai kementerian yang memegang jawatan sensitif dalam tempoh seminggu ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, berkata pegawai pelbagai gred terbabit tidak dibenarkan merayu pertukaran berkenaan.

"Proses sudah bermula dan surat perintah pertukaran dijangka selesai dalam seminggu ini.

"Ini adalah proses biasa dan membabitkan 50 pegawai pelbagai gred sebagai permulaan.

"Selepas ini akan ada lagi (pertukaran) kerana ia adalah proses berterusan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran 1Serve Transit Lounge @JPA4U di sini, sebentar tadi.

Isnin lalu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, berkata seramai 50 pegawai kementerian yang memegang jawatan sensitif akan ditukarkan sama ada secara dalaman atau ke kementerian lain bermula bulan ini, sebagai langkah mengekang ketirisan serta salah guna kuasa.

Beliau dipetik sebagai berkata, pegawai terbabit sudah berkhidmat antara lima hingga 10 tahun di beberapa bahagian kementerian termasuk kewangan, perolehan dan kontrak.

Berita Harian X