Jumaat, 8 April 2016 | 1:13pm

Buruh didakwa miliki, edar dadah

ANGGOTA polis mengiringi Ong Chin Peng di Mahkamah Tinggi di Kangar, pagi tadi. - Foto Eizairi Shamsudin

KANGAR: Seorang buruh dihadapkan ke Mahkamah Tinggi di sini, pagi tadi atas dua pertuduhan mengedar dan memiliki dadah, Oktober tahun lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Ong Chin Peng, 37, selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Abu Bakar Katar.

Bagi pertuduhan pertama, Chin Peng pada jam 9 pagi 1 Oktober lalu, didakwa mengedar 14.1 gram (g) dadah jenis heroin dan 3.5 g dadah jenis monoacetylmorphine.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di rumah tidak bernombor di Kilometer 10 Batas Lintang, dekat Simpang Empat, di sini.

Bagi pertuduhan kedua, buruh terbabit pada waktu dan di lokasi sama, didakwa memiliki 4.22 gram (g) methamphetamine.

Untuk kesalahan pertama, dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung mandatori.

Bagi kesalahan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) akta sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama, membabitkan penjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya.

Tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Abu Bakar menetapkan sebutan semula kes pada 29 April depan manakala tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abd Latif.

Berita Harian X