Jumaat, 8 April 2016 | 4:42pm

127 karton minuman keras seludup dirampas


127 karton minuman keras bernilai hampir Rm100,000 yang ditemui dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD). - Foto Eizairi Shamsudin

ARAU: Polis merampas 127 karton minuman keras bernilai hampir RM100,000 tidak termasuk cukai yang dipercayai diseludup dari negara jiran.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof, berkata minuman keras itu ditemui dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang berada dalam keadaan mencurigakan ketika melalui Jalan Padang Besar-Ulu Pauh, Pauh Putra berhampiran Kompleks Sukan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Beliau berkata, anggota polis melakukan rondaan di kawasan terbabit dan mendapati kenderaan itu dipandu laju dari arah Padang Besar menuju Jalan Changlun-Kuala Perlis.

"Anggota mengekori kereta berkenaan selama 10 minit sebelum pemandunya berhenti secara mengejut di tepi jalan lalu melarikan diri ke kawasan kebun getah di Pauh.

"Pemeriksaan pada kenderaan yang ditinggalkan suspek mendapati sebanyak 2,352 tin minuman keras jenis Carlsberg (98 karton) dan 696 tin minuman jenis Anchor (29 karton) diletakkan dalam but dan tempat duduk belakang.

"Nilai sebenar semua minuman keras itu masih dalam siasatan kerana belum dikira dengan jumlah kos duti.

"Pemandu kenderaan belum dapat dikenal pasti dan kami percaya suspek masih berada di kawasan berhampiran," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau, di sini, hari ini.

41 dibaca
Berita Harian X