Sabtu, 9 April 2016 | 12:06am
NING tidak ralat sekiranya ada dalam kalangan peminat yang kurang gemar dengan imej beliau yang dikatakan seksi. - Foto Nik Hariff Hassan
GAYA Ning pada Majlis Ulang Tahun ke-10 Rizman Ruzaini di Muzium Negara. - Foto Adi Safri
RYAN Sky Dalton kini berusia tiga tahun.
NING menginginkan seorang lagi anak lelaki kerana terlalu ramai perempuan dalam keluarga. - Foto Instagram

Ning mahu tambah hero dalam keluarga


SAAT ini, kehidupan penyanyi bersuara soprano, Ning Baizura, diulit bahagia bersama suami tercinta, Omar Sharif Christopher Layton Dalton. Apatah lagi, rumah tangga yang dibina pada Januari 2008 itu kini diserikan dengan kehadiran anak lelaki, Ryan Sky Dalton, pada Januari 2013.

Selepas anak pertamanya itu mencecah usia tiga tahun, tidakkah Ning teringin untuk menambah jumlah anggota keluarganya? Maklum saja, ramai yang beranggapan, lebih besar sesebuah keluarga, bertambah meriah suasananya.

Sebaik saja ditanya mengenai persoalan itu kepada penyanyi berkenaan, beliau terus memandang ke arah suaminya. Nyata beliau berhati-hati apabila memperkatakan soal anak. Beliau turut meluahkan kegusaran untuk menambah cahaya mata kerana usianya yang semakin meningkat.

"Takut sebenarnya untuk bercerita soal anak kerana umur saya juga sudah mencecah 40-an. Malah, saya juga selesa kerana Ryan sudah berusia tiga tahun. Mungkin ramai yang tidak tahu, Chris (suami) mempunyai dua anak perempuan hasil perkahwinan terdahulu.

"Namun peminat juga mendoakan supaya Ryan dikurniakan adik dalam tempoh terdekat. Saya tidak menolak sekiranya dikurniakan rezeki, tetapi enggan terburu-buru apabila berbicara mengenai zuriat. Banyak perkara perlu dititik beratkan apabila bercerita mengenai anak.

"Jika diberikan rezeki, saya menginginkan seorang lagi anak lelaki kerana terlalu sudah ramai perempuan dalam keluarga. Lebih manis sekiranya dikurniakan 'hero' bagi menyerikan lagi keluarga kami," ujar Ning dalam nada teruja.


NING memilih untuk tidak melatah dengan kata-kata negatif dilemparkan kepadanya di laman maya. - Foto Nik Hariff Hassan

NING atau nama sebenarnya Ning Baizura Sheikh Hamzah. - Foto Adi Safri

Ning juga tidak menolak sekiranya anak lelakinya itu mengikut jejak langkah beliau untuk menapak dalam bidang seni. Menurut bintang kelahiran Kajang, Selangor ini, beliau dan suami memberi sepenuh sokongan kepada Ryan yang menunjukkan minat mendalam dalam bidang nyanyian.

"Saya dan Chris ada berbincang mengenai hal ini melihatkan sikap Ryan yang cenderung ke arah bidang seni. Namun, dia masih masih terlalu kecil untuk mencatur masa depannya. Apabila tiba masanya nanti, sebagai ibu bapa kami akan memberikan sepenuh sokongan kepadanya.

"Ada juga beberapa jenama yang meluahkan hasrat untuk mengambil Ryan membintangi iklan mempromosikan produk mereka. Namun, rasanya lebih baik tunggu setahun atau dua lagi memandangkan Ryan masih terlalu kecil untuk bekerja," jelas Ning yang baharu saja dilantik menjadi duta Sweatspa.

Sementara itu, wanita ini mengaku selesa mempamerkan dirinya yang sebenar di media sosial. Beliau juga tidak ralat sekiranya ada dalam kalangan peminat yang kurang gemar dengan imej beliau yang dikatakan seksi.

Beliau juga memilih untuk tidak melatah dengan kata-kata negatif dilemparkan di laman maya, sebaliknya lebih suka mengambil pendekatan memberi penjelasan dengan baik kepada mereka.

Baginya, media sosial adalah medium paling tepat bagi mendekati kelompok peminat.


NING bersama Omar Sharif dan anak mereka, Ryan. - Foto Instagram

"Tidak kisah jika ada yang melihat imej saya sebagai seksi dan sebagainya kerana ia adalah diri saya. Biarlah peminat mendekati dan menerima saya seadanya. Kalau boleh saya tidak mahu bersikap hipokrit, sebaliknya selesa menjadi diri saya yang sebenar.

"Lagipun, imej saya pun tidaklah seksi sangat seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak. Saya sama saja seperti dulu, tidak banyak yang berubah pun. Lebih baik menjadi diri sendiri dan secara tidak langsung, peminat dapat mengenali peribadi kita dengan lebih baik," katanya kepada BH.

Menurut Ning atau nama sebenarnya Ning Baizura Sheikh Hamzah, 41, biarpun peminatnya di media sosial tidak mencecah angka sejuta seperti sebahagian selebriti lain, namun beliau menggunakan medium terbabit dengan sebaiknya untuk berkomunikasi dengan mereka.

"Pengikut saya tidaklah mencecah berjuta-juta, tetapi cukuplah sekadar berperanan untuk memberi info terkini mengenai diri saya. Sebarang maklumat terbaharu mengenai kerjaya saya akan dimuat naik dalam akaun media sosial yang dikendalikan sendiri.

"Selain berkongsi mengenai kerjaya, saya juga turut menyelitkan perihal keluarga kepada umum. Setakat ini, saya jarang menerima komen negatif, namun memilih menjawab satu persatu kemusykilan sekiranya ada masa terluang," kata penyanyi yang cukup dikenali dengan lagi Awan Yang Terpilu itu.


NING Baizura dan suaminya, Omar Sharif Christopher Layton Dalton. - Foto Instagram

Menyentuh mengenai perkembangan kerjaya, Ning mengakui dirinya agak sepi tanpa sebarang produk bagi suatu tempoh yang agak lama.

Beliau yang mula memikat hati peminat dengan lagu Curiga pada 1993, memberitahu dirinya tidak mempunyai keyakinan untuk tampil dengan single terkini, berikutan pasaran muzik tempatan yang tidak menentu.

"Saya tidak merajuk, sebaliknya takut mengambil risiko dengan keadaan pasaran muzik tempatan yang sentiasa berubah-ubah. Sukar untuk menjangka sama ada penghasilan produk itu nanti membuahkan hasil atau hanya mendatangkan kerugian berganda.

"Sejujurnya saya sangat rindu menyanyi kerana ia seperti sudah sebati dalam diri. Syarikat pengurusan kini dalam rangka untuk mengusahakan sesuatu buat diri saya dan jika ada rezeki, saya berharap single terbaharu dapat dihasilkan dalam tahun ini juga," kata Ning yang kali akhir muncul dengan album Kekal, pada 2013.

Berita Harian X