Sabtu, 9 April 2016 | 12:07am
PANGLIMA Selempang Merah atau nama sebenarnya, Salleh Abdul Karim. - Foto Syarafiq Abd Samad
IBU kepada Mohd Radhi, Halimah Nang. - Foto Syarafiq Abd Samad
AMALAN bacaan oleh anggota Tentera Selempang Merah yang dicatatkan dalam buku kecil peninggalan Allahyarham Jamhari Mohd Said. - Foto Syarafiq Abd Samad
MOHD Radhi menunjukkan cebisan bulu pelanduk putih peninggalan ayahnya yang pernah menyertai perjuangan menentang komunis. - Foto Syarafiq Abd Samad

Selempang Merah bangkitkan semangat lawan komunis


BATU PAHAT: Kisah Panglima Selempang Merah menentang ancaman komunis di sekitar daerah ini dan Muar selepas penjajahan Jepun, mungkin kurang diketahui rakyat negara ini.

Namun bagi penduduk asal utara Johor, jasa Panglima Selempang Merah atau nama sebenarnya, Salleh Abdul Karim, yang dilahirkan pada 1916 di Tanjung Olak Batu, Bukit Pasir, Muar, tidak mungkin luput dari ingatan.

Di zaman penentangan beliau, komunis digambarkan melihat Panglima Salleh sebagai seorang yang perkasa dengan pedangnya, kelihatan melayang di udara, setiap kali terbabit dalam pertempuran.

Walaupun tidak banyak catatan mengenai perjuangan dan kehidupan beliau direkodkan dalam sejarah tanah air, nama Panglima Salleh tetap dikenang dan kisahnya dikongsi secara lisan oleh penduduk setempat.

Semangat cintakan agama, bangsa dan tanah air yang sentiasa membara, ketokohan Panglima Salleh bukan saja warak dan bijak memimpin pengikut, malah menguasai pelbagai ilmu kebatinan yang dipelajari daripada ramai guru.

 

KAJIAN Md Akbal mendapati semua sumber sepakat yang Panglima Salleh mempunyai ilmu kebatinan yang tinggi. - Foto Syarafiq Abd Samad

GAMBAR Allahyarham Jamhari Mohd Said (kiri) yang juga seorang daripada Tentera Selempang Merah yang masih disimpan keluarganya di Batu Pahat. - Foto Syarafiq Abd Samad

Gabungan tiga faktor itu menjadikan Panglima Salleh begitu teliti dan tertib dalam setiap pergerakannya mendepani ancaman komunis Bintang Tiga. Keampuhan ilmu kebatinan yang dimiliki menyebabkan komunis kecut perut apabila mengetahui kehadirannya di kawasan mereka.

Ahli Persatuan Sejarah Malaysia Negeri Johor, Dr Md Akbal Abdullah, berkata kajiannya mendapati satu persamaan daripada pelbagai sumber yang ditemui, menunjukkan pejuang bangsa itu dikenang mengenai kehebatan ilmu kebatinannya.

"Kehebatan Panglima Salleh dan pengikutnya menjadi buah mulut kerana komunis takut melihat kelibat Tentera Selempang Merah terutama parang digunakan mereka dikatakan mampu terbang mencari mangsa untuk dicantas ketika pertempuran.

"Itu yang membuatkan kisah Panglima Salleh sinonim dengan parang terbang sehingga kini. Lebih menarik, mereka mampu menewaskan komunis dengan hanya berbekalkan senjata tradisional seperti parang dan tombak, walaupun pengganas bersenjata api.

"Selain itu, pengikut Panglima Salleh juga mempunyai identiti tersendiri apabila masing-masing dipakaikan selempang merah yang tertulis ayat al-Quran dan diberi gelaran Tentera Selempang Merah," katanya.

 

AHLI Persatuan Sejarah Malaysia Negeri Johor, Dr Md Akbal Abdullah. - Foto Syarafiq Abd Samad

Md Akbal berkata, komunis yang gentar melihat Tentera Selempang Merah mendakwa pengikut Panglima Salleh itu berubah menjadi besar dan tinggi seperti gergasi dalam jumlah ribuan, padahal pengikut pejuang itu tidak lebih daripada 100 orang sahaja.

 

"Insan yang banyak memainkan peranan di belakang kehebatan Panglima Salleh adalah isterinya, Basariah Abd Latif, yang dikenali dengan panggilan Kak Esah dalam kalangan masyarakat setempat.

"Kak Esah juga seorang yang warak serta mempunyai kepandaian dalam ilmu kebatinan, banyak membantu Panglima Salleh terutama menyediakan selempang untuk dipakai pengikut suaminya," katanya.

Md Akbal berkata, kebangkitan Panglima Salleh dan orang Melayu sekitar Batu Pahat serta Muar menentang komunis berpunca daripada tekanan hidup selepas pemimpin tempatan seperti penghulu, ketua kampung dan guru agama, dibunuh satu persatu secara senyap.

 

Katanya, pembunuhan didalangi komunis itu adalah sebahagian taktik melemahkan orang Melayu di kawasan kampung sekitar Batu Pahat dan Muar, sekali gus mahu menguasai kaum terbabit, sehingga mereka bangkit menentangnya hasil kepimpinan Salleh.

WARIS Tentera Selempang Merah, Mohd Radhi Jamhari. - Foto Syarafiq Abd Samad

SELEMPANG Merah peninggalan Allahyarham Jamhari Mohd Said. - Foto Syarafiq Abd Samad

Sementara itu, waris Tentera Selempang Merah, Mohd Radhi Jamhari, 30, melahirkan rasa bangga apabila mengetahui ayahnya, Allahyarham Jamhari Mohd Said, yang juga bekas imam Masjid Tongkang Pechah, adalah di antara pengikut Panglima Salleh .

 

"Ketika hayatnya, ayah pernah berkongsi kisah pembabitannya bersama Panglima Salleh menentang komunis. Ayah berkata, semua pantang larang termasuk amal ibadat yang diamalkan kumpulan pejuang Selempang Merah tidak mampu dipatuhi generasi kini.

 

"Antara amalan diceritakan arwah ayah termasuklah sentiasa berzikir, berpuasa, tidak pernah meninggalkan solat dan membaca Surah Yassin serta pelbagai ayat al-Quran sepanjang masa ketika mahu bertempur, selain pantang larang yang diarahkan ketua mereka.

 

"Arwah ayah juga ada menyimpan sebilah pedang yang mempunyai ukiran ayat al-Quran. Apabila terjumpa pedang itu dan membuka bungkusannya, saya pernah dimarahi ayah yang berkata senjata terbabit bukan permainan biasa.

 

"Bagaimanapun pedang terbabit ghaib daripada rumah kami, apabila ayah meninggal dunia pada tahun 2002 ketika berusia 79 tahun," katanya.

 

MOHD Radhi menunjukkan selempang merah peninggalan arwah ayahnya yang diterima ketika menyertai perjuangan menentang komunis bersama Panglima Salleh. - Foto Syarafiq Abd Samad

Namun, Mohd Radhi dan ibunya, Halimah Nang, 66, masih menyimpan menunjukkan bungkusan peninggalan arwah ayahnya yang mengandungi Selempang Merah selain amalan bacaan yang dicatatkan pada helaian kertas dan buku kecil.

 

Pengkaji sejarah serta penulis biografi 'Penghulu, Panglima, Kiyai Salleh Abd Karim' di dalam buku Johor Mengenang Sumbangsihmu terbitan Yayasan Warisan Johor, Siti Patonah Muashot, 74, berkata ketokohan Panglima Salleh bermula pada 1945 iaitu ketika Malaya berdepan ancaman komunis selepas Jepun berundur.

"Ketika pendudukan Jepun, Salleh pernah bekerja dengan penjajah itu di Singapura. Namun, melihat kekejaman Jepun terhadap orang Melayu, Salleh membunuh beberapa tentera penjajah itu sebelum kembali ke pangkuan keluarga mentuanya bersembunyi di Pontian," katanya.

IKUTI BAHAGIAN KEDUA ESOK

Berita Harian X