Sabtu, 9 April 2016 | 3:41pm

Shera Aiyob kekok kembali mengacara

PELAKON dan pengacara, Shera Aiyob. - Foto Munira Abdul Ghani

KUALA LUMPUR: Selepas tiga tahun berehat daripada aktiviti seni untuk memberi tumpuan kepada keluarga, pelakon dan pengacara, Shera Aiyob, 29, mengakui sukar untuk mendapatkan kembali rentak kerana sudah lama cabang seni itu ditinggalkan.

Ditawarkan mengacara program bual bicara, Masam-Masam Manis siaran TV Al-Hijrah, Shera atau nama sebenarnya, Nur Syahirah Aiyob memanfaatkan peluang itu untuk menggilap semula kemahirannya meskipun pada permulaan, agak kekok menyesuaikan diri.

"Selepas beberapa tahun meninggalkan kerjaya pengacaraan, agak sukar untuk saya kembali mendapatkan rentak. Banyak yang perlu digilap semula dan pada masa sama, saya turut melakukan kajian menerusi pembacaan sebagai persediaan sebelum memulakan rakaman program.

"Banyak ilmu baharu yang saya pelajari, apatah lagi program ini cenderung membincangkan program berkaitan isu rumah tangga, kekeluargaan dan kewanitaan. Program ini begitu dekat di hati kerana saya juga seorang isteri dan ibu," katanya mengenai rancangan yang bersiaran setiap Khamis pada jam 2.05 petang itu.

Shera yang memulakan kerjaya pengacaraan menerusi Kapsul MyTV3 dan Wanita Hari Ini (WHI) berkata, mengacara program berkonsepkan Islamik menuntutnya supaya lebih berhati-hati terutama dalam menjaga batasan kerana tidak mahu dipandang serong masyarakat.

SHERA dan suaminya, Zahiril Adzim. - Foto Munira Abdul Ghani

"Sebelum ini, saya pernah mengacarakan program kanak-kanak dan remaja selain menjadi hos untuk WHI. Tetapi, konsep program terbaharu ini agak berbeza kerana saya perlu menjaga batasan supaya tidak nampak keterlaluan. Saya sempat menonton kembali beberapa episod yang sudah disiarkan.

"Tidak dinafikan, ada yang perlu diubah dan diperbaiki supaya mutu pengacaraan saya selari dengan tuntutan program," katanya.

Shera berkata, Masam-Masam Manis juga istimewa kerana buat kali pertama digandingkan dengan suaminya, Zahiril Adzim sebagai pengacara. Mengakui teruja dengan kerjasama mereka, Shera turut menjadi pendorong utama supaya Zahiril berani mencuba bidang itu.

"Dalam lakonan, suami akan menjadi tempat rujukan namun untuk pengacaraan, saya banyak berkongsi tips dan pengalaman kerana ia cabang kerjaya baharu kepadanya. Saya menasihatkan suami supaya menonton beberapa program bual bicara sebagai rujukan dan panduan.

"Bagaimanapun, saya memintanya supaya menjadi diri sendiri dan tidak terikut-ikut dengan pengacara lain ketika di depan kamera. Kerjasama dalam program ini secara tidak langsung, mengeratkan lagi hubungan kerana kami banyak berinteraksi dan berkomunikasi antara satu sama lain," katanya.

SHERA bersama Zahiril dan anak mereka, Nadi Anaqi. - Foto Instagram

Pelakon filem Karak dan Karak ini berkata, selepas lama berehat kerana melahirkan anak sulung, Nadi Anaqi, 3, dirinya juga sudah bersedia untuk kembali aktif termasuk menerima tawaran lakonan.

"Anak juga sudah semakin matang jadi saya tidak mempunyai masalah sekiranya dijaga sementara ahli keluarga ketika saya sibuk di lokasi penggambaran. Ketika ini, saya hanya menerima tawaran telefilem dan watak pembantu yang tidak membabitkan tempoh penggambaran yang terlalu lama.

"Lagipun, selepas berhijab banyak perkara yang perlu saya teliti sebelum memberi kata persetujuan untuk berlakon. Saya akan meneliti keseluruhan skrip dulu kerana tidak semua karakter bersesuaian untuk dibawa pelakon wanita bertudung. Jika ada babak yang tidak manis untuk dilakonkan, lebih baik saya tolak dari awal," katanya.

Berita Harian X