Ahad, 10 April 2016 | 12:04am

Buaya membedal dan menganga tarikan di Paya Indah

PENGUNJUNG beri makan kepada burung undan. - Foto Zunnur Al Shafiq
PENGUNJUNG beri makan kepada burung undan. - Foto Zunnur Al Shafiq

PERSEKITARAN tasik kelihatan cukup mendamaikan terutama pada waktu pagi. Sesekali kelihatan sekumpulan remaja dan kanak-kanak berbasikal mengelilingi tasik berkenaan.

Namun, di tepi tasik itu dibina kawat dan tertera papan tanda memberi amaran, pakar serang hendap! Sebaik saja jam 11 pagi, kawasan sekitar tasik dipenuhi orang ramai, mereka seolah-olah sedang menunggu sesuatu.

Rupa-rupanya di sebalik air yang tenang itu adalah habitat lebih 50 buaya tembaga. Inilah yang menyebabkan ia dikenali Tasik Buaya.

Tasik Buaya adalah bekas lombong bijih timah yang terdapat di Paya Indah Wetlands, Dengkil, Selangor yang dipenuhi pengunjung pada setiap cuti hujung minggu atau cuti umum untuk melihat dari dekat renjer Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) memberi bangkai ayam sebagai habuan untuk sang bedal!

Berat badan buaya tembaga dewasa boleh mencecah hampir satu tan. Bangkai ayam yang dimakan seekor buaya, sang bedal berasa kenyang kira-kira tiga minggu tanpa diberikan makanan. Justeru, kelihatan beberapa ekor buaya seperti tidak berminat 'menikmati' makanannya.

Tahukah anda buaya mampu menerkam dan menggigit mangsanya dalam sekelip mata. Gigitan buaya adalah yang terkuat dan daya gigitannya adalah 13 kali lebih kuat daripada gigitan anjing rotwieler dan 11 kali lebih kuat daripada gigitan jerung. Buaya tembaga atau crocodylus porosus turut dilabel sebagai pemburu yang cekap.

Inilah sebabnya mengapa ramai pelancong yang memenuhi Tasik Buaya, tidak melepaskan peluang menyaksikan buaya tembaga beraksi, seolah-olah mereka sedang menonton pembikinan siri dokumentari antarabangsa, National Geographic secara langsung terus dari Paya Indah Wetlands.

SANG bedal rakus membaham bangkai ayam. - Foto Zunnur Al Shafiq
SANG bedal rakus membaham bangkai ayam. - Foto Zunnur Al Shafiq

PENGUNJUNG diberi peluang beri makan kepada badak air di Paya Indah Wetlands. - Foto Zunnur Al Shafiq
PENGUNJUNG diberi peluang beri makan kepada badak air di Paya Indah Wetlands. - Foto Zunnur Al Shafiq

Juwita makan sekali sehari

Penulis juga berpeluang memberi makan kepada badak air yang ditempatkan di Tasik Hippo.

Ini adalah pengalaman melihat badak air baka dari Botswana, Afrika atau nama lainnya hippopotamus amphibious yang memainkan peranan penting dalam ekosistem akuatik.

Perkataan hippopotamus berasal daripada perkataan Greek bermaksud kuda sungai. Namun, badak air langsung tidak mempunyai pertalian dengan kuda!

Walaupun purata berat badannya melebihi 1,000 kg, ia boleh berlari sehingga mencapai kelajuan 30 km sejam.

Realitinya badak tidak boleh berenang, hanya berjalan dalam air seperti penari balet!

Badak air paling senior yang mendiami Tasik Hippo ini diberi nama Juwita. Apabila renjer baru mengangkat rumput napier, makanan kegemarannya, ia awal-awal lagi sudah membuka luas mulutnya yang luas dan lebar itu seolah-olah memahami sudah tiba masa untuk makan.

Ketika itulah, puluhan pengunjung merakamkan momen istimewa itu, ada juga yang dilihat berselfie bersama Juwita yang sedang asyik menjamu selera!

Selain rumput napier, badak juga menggemari buah-buahan seperti betik.

Badak dewasa seperti Juwita dalam sehari hanya makan sekali saja, namun dalam kuantiti banyak iaitu 100 kg sehari! Justeru, badar air adalah mamalia daratan yang ketiga terbesar di dunia. Pun begitu, ia mampu membunuh menggunakan sepasang gigi taringnya, selain memijak mangsa. Justeru, pelawat disarankan sentiasa berwaspada dan mendengar arahan renjer.

KEMUDAHAN chalet tawar harga istimewa. - Foto Zunnur Al Shafiq
KEMUDAHAN chalet tawar harga istimewa. - Foto Zunnur Al Shafiq

Ada chalet untuk menginap

Ingin menikmati suasana malam di tepi tasik dan barbeku bersama keluarga di gazebo sambil melihat pesawat boeing terbang rendah di atas kepala, bolehlah menginap di 16 buah chalet yang disediakan. Justeru, Paya Indah Wetlands adalah sebuah taman rekreasi dan pusat percutian yang tidak boleh dipandang sepi apabila ia dianggap antara produk pelancongan popular sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

INFO

Paya Indah Wetlands

  • Alamat: Kilometer 4, Jalan Dengkil - Banting, Dengkil, Selangor
  • Telefon: 03 8768 7616
  • Laman sesawang: www.wildlife.gov.my
  • Waktu lawatan: Isnin hingga Ahad bermula jam 7.30 pagi hingga 7 malam. Jumaat tutup bermula jam 12.15 tengah hari hingga 2.45 petang
  • Tempahan chalet: Setiap hari kecuali hujung minggu dan cuti umum mulai jam 8 pagi hingga 5 petang
  • Antara aktiviti yang mampu menarik kehadiran pelancong ke Paya Indah Wetlands ialah memberi makan badak air, burung undan dan buaya tembaga serta berbasikal.

BARBEKU bersama keluarga di gazebo. - Foto Zunnur Al Shafiq
BARBEKU bersama keluarga di gazebo. - Foto Zunnur Al Shafiq

BERBASIKAL antara aktiviti di Paya Indah Wetlands. - Foto Zunnur Al Shafiq
BERBASIKAL antara aktiviti di Paya Indah Wetlands. - Foto Zunnur Al Shafiq

Aktiviti yang menjadi tumpuan:

  • 10 pagi - memberi makan badak air (setiap hari) (lokasi: Tasik Hippo)
  • 10.30 pagi- memberi makan burung undan (setiap hari) (lokasi: Tasik Ekologi dan Kolam Pelican)
  • 11 pagi - memberi makan buaya tembaga (Sabtu, Ahad dan cuti umum) (lokasi: Tasik Buaya)
  • 7.30 pagi hingga 7 malam - berbasikal (setiap hari) (lokasi: zon rekreasi / bayaran RM5 selama sejam)

PENGUASA Paya Indah Wetlands, Azman Osman (kanan) bersama kakitangan Paya Indah Wetlands. - Foto Zunnur Al Shafiq
PENGUASA Paya Indah Wetlands, Azman Osman (kanan) bersama kakitangan Paya Indah Wetlands. - Foto Zunnur Al Shafiq

Berita Harian X