Ahad, 10 April 2016 | 8:15am

Sanders atasi Clinton di Wyoming

CALON presiden Demokrat, Bernie Sanders. - Foto Reuters
CALON presiden Demokrat, Bernie Sanders. - Foto Reuters

WASHINGTON: Calon presiden Demokrat, Bernie Sanders, menang dalam pemilihan di Wyoming, mengalahkan pencabar kuatnya, Hillary Clinton, dan terus menambah siri kemenangan ketika kedua-duanya bersiap sedia untuk pertembungan sengit di New York.

Senator Vermont itu sudah menang tujuh daripada lapan pertandingan peringkat negeri Demokrat, cuba mengurangkan kelebihan besar Clinton dalam bilangan perwakilan yang diperlukan untuk mendapat pencalonan parti.

Empat belas perwakilan di Wyoming, sedikit berbanding negeri lain, dibahagikan berdasarkan sokongan daripada individu yang mengambil bahagian dalam pertandingan merebut pencalonan.

Anggaran awal menunjukkan walaupun Sanders menang dalam pertandingan di Wyoming, beliau dan Clinton berkemungkinan menerima tujuh undian dalam saingan sengit, mengekalkan bekas Setiausaha Negara itu mendahului secara keseluruhan.

Clinton sudah memperoleh lebih separuh daripada 2,383 perwakilan yang diperlukan untuk menang dalam pencalonan. Sanders mengekori dengan 250 perwakilan, diberikan berdasarkan keputusan pertandingan pencalonan negeri.

Clinton dan Sanders menghabiskan sepanjang Sabtu berkempen di New York, yang akan mengadakan pertandingan pada 19 April ini dan mempunyai 291 perwakilan, lebih 10 peratus daripada kiraan yang diperlukan untuk menang pencalonan parti. - AP

Berita Harian X