Ahad, 10 April 2016 | 6:13pm

Susu Similac bukan dari China - KP Kesihatan

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengesahkan susu formula bayi jenama Similac yang berada di pasaran negara ini tidak diimport dari negara China.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata semakan melalui Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FoSIM) mendapati susu jenama itu hanya dibawa masuk dari Singapura, Ireland dan Sepanyol.

Kedutaan China di Malaysia juga mengesahkan bahawa isu ini hanya melibatkan pasaran tempatan di China.

Produk itu tidak dieksport, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan dua akhbar tempatan serta Hong Kong Free Press dan The China Post pada Rabu lepas berkaitan penangkapan enam warga China kerana terlibat dalam aktiviti pembuatan dan penjualan susu formula bayi tiruan di bawah jenama terkenal seperti "Similac".

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata syarikat Abbott, iaitu pengeluar asal produk Similac juga mengesahkan bahawa isu penipuan itu hanya melibatkan susu formula bayi yang dikilangkan di China untuk pasaran di negara berkenaan sahaja.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

Mengikut Seksyen 13, Akta Makanan 1983, makanan yang telah tercemar atau mengandungi bahan berbahaya yang memudaratkan kesihatan dilarang dijual.

Pengguna yang mempunyai kemusykilan berhubung isu keselamatan makanan dinasihatkan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri atau melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM).

- BERNAMA

Berita Harian X