Ahad, 10 April 2016 | 8:32pm

Kamek Sayang Sarawak di TV3 mulai Selasa

 

PETALING JAYA: Program bual bicara, Kamek Sayang Sarawak (KSS) bakal menemui penonton menerusi stesen TV3 bermula Selasa ini.

Penerbit Eksekutif KSS, Amran Yusof, berkata program terbabit diadakan bagi mengajak penonton mendekati Bumi Kenyalang melalui liputan berita dan topik menarik dari segenap pelusuk Sarawak.

"Program ini pernah ditayangkan pada 2011 dengan nama Sayang Sarawak tapi kemunculan kali ini berbeza dengan menampilkan idea dan konsep baharu.

"Kali ini, kami bercadang menjemput selebriti kelahiran Sarawak seperti pemain muzik tradisional, penyanyi terkenal, tokoh politik hebat dan orang perseorangan yang banyak menyumbang jasa kepada negeri itu khususnya Malaysia.

"Seramai empat hos dipilih mewarnai KSS iaitu Mohd Izwan Azir Salleh, penyampai berita TV3, Safwan Sawi (wartawan TV3), Dewi Liana Sariestha (Miss Malaysia World 2014 dan finalis Mentor 2015) serta Nadeha Kamaludin, (bekas penyampai berita ntv7)," katanya dalam satu kenyataan.

Amran berkata, pihaknya berharap idea yang dibawa KSS mampu membolehkan penonton menyelami Sarawak dengan lebih dalam dan berkesan.

Sementara itu, Dewi Liana berkata sebagai anak jati Sarawak, dia teruja mahu mengacara program terbabit biarpun pertama kali diberikan tugas sebagai hos.

"Saya akan cuba menjalankan tugas sebaiknya sebagai hos dan berharap penonton TV3 dapat menerimanya kerana ini adalah kali pertama saya bakal menjadi pengacara program," katanya.

Orang ramai boleh menonton KSS setiap petang bermula jam 6 petang hingga 6.30 petang (Isnin-Khamis), 4.30 hingga 5 petang (Jumaat) dan 5.30 hingga 6 petang (Sabtu dan Ahad).

Berita Harian X