Isnin, 11 April 2016 | 12:02am

Seni antara tuntutan komersial, agama


ANTARA pembentang Simposium ALIA 2016 di ASWARA, Kuala Lumpur. - Foto Shiraz Ali

PERCANGGAHAN pandangan antara seni atas tuntutan komersial dengan bentuk pengabdian kepada Tuhan menghangatkan Simposium Asean League of Institute of the Arts (ALIA) 2016 di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Polemik itu menjadi sisi menarik di tengah-tengah kepelbagaian pemikiran dan pandangan yang dilontarkan lewat 22 pembentangan kertas kerja pada seminar selama dua hari.

Acara anjuran Pusat Penyelidikan, Kesarjanaan dan Kecemerlangan Artistik P Ramlee ASWARA itu menyaksikan universiti berkenaan menjadi tuan rumah simposium kali keempat yang menghimpunkan ahli akademik dari universiti dan institusi kesenian seluruh Asia.

Pembentangan Pengarah Rekaan dari Nazanin Sheikhi Design Sdn Bhd, Nazanin Sheikhi menerusi Seni dan Keamanan mengingatkan kesenian sebagai manifestasi kecantikan dan melengkapkan pencarian diri, sekali gus menjadikannya jawapan kepada kedamaian.


PROF Dr Patricia Matrisky (kiri) dan Roselina Johari Md Khir Simposium ALIA 2016 di ASWARA, Kuala Lumpur. - Foto Shiraz Ali

Seni jadi hodoh

"Seni akan menjadi hodoh kalau kita tidak melakukannya kerana Tuhan, tetapi pemahaman terhadap seni pada 15 tahun lalu berbeza dengan persepsi seni masa kini sehingga menyebabkan keindahannya terbantut," katanya.

Tambah Nazanin, nilai dan pemahaman yang berbeza terhadap seni akan menterjemahkan maksud seni itu kepada penggiatnya.

"Seni bukan hanya membabitkan pandangan mata, bahkan datang dari hati. Hari ini bukan semua seni itu layak dipanggil seni sedangkan ia sebenarnya bentuk paling dalam untuk mengabdikan diri kepada Tuhan," katanya.

Pendapat Nazanin itu selari dengan Pensyarah ASWARA, Prof Datuk Baharudin Ahmad ketika berkongsi makalah Religious Foundation in the Traditional Arts of Asia.

Tegas Baharudin, dengan perkembangan ekonomi dan pembangunan yang pesat di Asia, terdapat kemungkinan seni tradisional akan pudar dengan perlahan-lahan, manakala doktrinnya juga akan dilupakan oleh pengamal seni kontemporari.


PROF Datuk Dr Ahmad Murad Merican pada Simposium ALIA 2016 di ASWARA, Kuala Lumpur. - Foto Shiraz Ali

Hilang ilmu seni

"Banyak seni hari ini tidak dipersembahkan dengan gaya asli seperti yang asal, sekali gus ia bermaksud kita mengalami kehilangan ilmu seni.

"Sangat mustahil untuk memahami asas seni di Asia tanpa mengambil tahu pelbagai doktrin agama, kepercayaan, pemikiran dan budaya yang melingkari warganya.

"Dalam memahami apa-apa saja seni termasuk tarian, teater, lukisan dan taman seni, kita juga perlu memahami doktrin yang mendasarinya," katanya.

Baharudin menegaskan tradisi dan agama mungkin selalu diselewengkan atau disalah fahami jika pendekatan moden digunakan dalam melihatnya.

"Seni tradisi bukan 'seni untuk seni' tetapi luahan kepada kepercayaan agama, etnik, moral dan disiplin yang membawa kita memahami kehidupan," katanya.

Bagaimanapun, persoalan seni sebagai bentuk pengabdian kepada Tuhan menjadi sedikit dicurigai apabila ia digabungkan dengan pelancongan seperti pembentangan Ketua Pengarah, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Datuk Norliza Rofli yang mengakui kebudayaan dan seni sudah menjadi sebahagian daripada pelancongan yang menjana pendapatan negara.


PEMBENTANG Simposium ALIA 2016 di ASWARA, Kuala Lumpur. - Foto Shiraz Ali

Budaya tarik pelancong

"Dalam perkembangan industri pelancongan di negara ini, budaya menjadi komponen penting, malah ia turut disebut dalam kajian TripAdvisor 2015, iaitu 44 peratus pelancong berkunjung ke sesuatu negara itu atas sebab budaya dan penduduknya.

"Pada 2020, kami menyasarkan akan membawa masuk 36 juta pelancong dengan anggaran pendapatan RM168 bilion," katanya.

Norliza bagaimanapun, tidak menafikan pada zaman yang semakin membangun dengan perubahan teknologi yang mengubah budaya dan pemikiran, keperluan untuk mengekalkan tradisi, sejarah dan budaya sangat perlu.

"Cabarannya adalah membentuk kesamaan antara nilai, tradisi, falsafah budaya dan keperluan untuk membina generasi yang boleh memenuhi kehendak dunia global dan teknologi," katanya.

Kenyataan itu pasti saja memecah definisi seni sebagai bentuk pengabdian diri kepada Tuhan. Dalam hal ini, cabaran yang menanti penggiat seni dan dunia seni itu sendiri sudah tentu sangat besar.


ANTARA yang menghadiri pembentangan Simposium ALIA 2016 di ASWARA, Kuala Lumpur. - Foto Shiraz Ali
Berita Harian X