Isnin, 11 April 2016 | 6:00am
KAMIL.

Agensi kerajaan mesti perkukuh integriti, kawalan dalaman

KAKITANGAN kerajaan perlu mengamalkan integriti tinggi bagi mengelakkan gejala ketirisan.[foto hiasan]. - Foto Mikail Ong

S: Apa pandangan Prof mengenai sistem pengauditan kewangan atau perbelanjaan yang diamalkan dalam jabatan, agensi dan kementerian kerajaan ketika ini, khasnya selepas seorang pegawai kanan Kementerian Belia dan Sukan dituduh di mahkamah atas 32 tuduhan rasuah dan penipuan membabitkan hampir RM35 juta?

Kamil: Sistem kewangan dan pengauditan kewangan ketika ini sudah mencukupi. Bagaimanapun, amalan pelaksanaan sistem kawalan dalaman kewangan dan integriti di sesetengah agensi kerajaan masih lemah. Sebagai contoh seseorang pegawai yang berkuasa ke atas kewangan perlu dipusing ganti tugas setiap tiga tahun. Inilah yang dilakukan oleh organisasi bank. Pengurus sesuatu cawangan bank tidak boleh berada di cawangan sama untuk suatu tempoh lama kerana dikhuatiri dapat membina rangkaian yang akhirnya boleh menggugat integriti pengurus berkenaan. Dalam kes Kementerian Belia dan Sukan misalnya, kita dapati keberadaan pegawai berkenaan dalam agensi itu sudah agak lama. Tempoh itu sudah cukup untuk membina rangkaian yang boleh menggugat integriti. Seperkara lagi yang ingin ditekankan ialah kerja audit berlaku selepas urus niaga dibuat. Dalam erti kata lain, rasuah sudah berlaku sebelum audit dilaksanakan. Justeru, persoalan audit tidak timbul. Yang menjadi persoalan ialah kawalan dalaman. Bagi membendung gejala rasuah ini, kawalan dalaman kukuh serta integriti staf yang tinggi perlu wujud dalam setiap agensi. Juruaudit hanya mampu menasihati agensi berkenaan, maka ketua agensi harus bertindak bagi mengukuhkan kawalan dalaman masing-masing serta integriti staf di bawah kawalannya. Institut Integriti Malaysia (IIM) disarankan mengorak langkah untuk mengukuhkan integriti bukan sahaja dalam kalangan agensi kerajaan, tetapi juga agensi dan individu yang berurusan dengan agensi kerajaan. Harus diingatkan bahawa rasuah berlaku apabila dua pihak wujud dan bersetuju, iaitu pemberi dan penerima rasuah.

S: Adakah wujud kelompangan pada sistemnya sehingga menyebabkan berlaku ketirisan dan salah guna kuasa serta rasuah dalam kalangan penjawat awam?

Kamil: Ketirisan dan kelompangan berlaku apabila mereka yang terbabit, melanggar peraturan kewangan. Sebagai contoh sesetengah orang memesan barang tanpa ada tempahan belian (PO). Dalam hal ini juruaudit hanya boleh mengesan selepas urus niaga berlaku. Bagi membolehkan ia tidak berlaku, pihak kewangan atau ketua perlu menghentikan pesanan itu. Begitu juga halnya apabila barang yang dipesan telah sampai ke agensi berkenaan. Orang yang menerima mestilah bukan orang yang memesan barangan tadi. Jika tidak, maka berlaku ketirisan atau kelompangan yang kemudiannya dikesan oleh juruaudit.

S: Ada cadangan daripada pihak tertentu agar Akta Audit 1957 dipinda bagi memberi kuasa tambahan kepada Jabatan Audit Negara untuk bertindak jika mengesan sesuatu projek atau program yang ada unsur rasuah atau ketirisan dalam perbelanjaan?

Kamil: Dalam hal ini kita harus ingat bahawa setiap agensi kerajaan ada 'tuannya' sama ada dalam bentuk pengarah atau lembaga pengarah atau sebagainya. Jika di sekolah, kesalahan anak perlu dilaporkan kepada ibu bapa masing-masing supaya tindakan sewajarnya dapat diambil. Begitu juga peranan juruaudit, ia hanya perlu melaporkan sebarang kesalahan atau ketirisan yang berlaku kepada ketua agensi. Ketua di agensi berkenaanlah mesti melaksanakan tindakan susulan selepas menerima laporan audit.

S: Apa pandangan Prof jika Jabatan Audit Negara diberi kuasa penuh untuk melaksanakan early audit untuk semua projek yang membabitkan perbelanjaan besar bagi mengelak ketirisan berlaku?

Kamil: Early audit adalah baik khususnya bagi projek besar. Namun, ia perlu dilaksanakan secara cekap dan efektif bagi mengelakkan kelewatan atau terbantutnya sesuatu projek. Dalam early audit, fokusnya selalu merangkumi kesesuaian sesuatu projek itu diadakan serta menilai keupayaan pembekal untuk melaksanakan projek tanpa sebarang tergendala. Saya bersetuju dengan early audit dengan tambah baik kepada continuous audit atau audit berterusan atau audit berkala (tiga bulan sekali). Kewujudan audit berterusan boleh mencegah pegawai daripada terbabit dalam gejala tidak diingini. Ibarat mereka yang selalu melanggar lampu isyarat merah, tetapi apabila ada polis trafik di situ, mereka tidak berani langgar.

S: Bagi menangani masalah ketirisan perbelanjaan ini, CUEPACS mencadangkan agar bahagian audit dalaman jabatan kerajaan bertanggungjawab terus kepada Ketua Audit Negara tanpa campur tangan ketua jabatan. Adakah cadangan ini relevan bagi menangani permasalahan yang timbul?

Kamil: Cadangan ini relevan bagaimanapun ia perlu disertakan dengan laporan ketua agensi berkenaan bagi membolehkan ketua berkenaan peluang untuk menjelaskan situasi.

S: Bagaimana pula pendapat Prof apabila Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sr Ali Hamsa mengumumkan 50 pegawai kementerian yang memegang jawatan sensitif akan ditukarkan secara dalaman atau ke kementerian lain sebagai langkah mengekang ketirisan dan salah guna kuasa? Adakah ia wajar?

Kamil: Pengumuman itu tepat khususnya kepada mereka yang berada di sesuatu tempat melebihi tiga tahun. Ia menepati prinsip kawalan dalaman iaitu pusinganti tugas. Hal ini boleh mengelak pegawai terjebak kepada rangkaian gejala rasuah. Ya, ia memang wajar.

S: Secara keseluruhan, apakah tahap ketirisan yang berlaku di negara kita pada ketika ini. Adakah masih terkawal atau membimbangkan?

Kamil: Membimbangkan. Jabatan Audit Negara telah mengeluarkan Indeks Akauntabiliti bagi setiap agensi kerajaan. Ia perlu dihebahkan kepada masyarakat. Dengan cara ini ketua bagi sesuatu agensi akan menjadi lebih sensitif jika kedudukan akauntabiliti mereka didapati rendah. Sudah tiba masanya IIM melaksanakan perkara yang sama dengan mengeluarkan Indeks Integriti di semua agensi kerajaan dan parti politik.

Berita Harian X