Isnin, 11 April 2016 | 3:33pm

MPB-NSTP serah sumbangan bernilai RM26,000 kepada bomba Sabah

KOTA KINABALU: Media Prima Berhad (MPB) sebentar tadi menyampaikan sumbangan bernilai RM26,000 menerusi Tabung Bencana MPB-NSTP kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah.

Ia sebagai menghargai usaha anggota JBPM Sabah yang bertungkus-lumus memadamkan kebakaran hutan di beberapa kawasan di negeri ini berikutan musim kemarau.

Sumbangan berbentuk makanan dan minuman itu disampaikan oleh Pengurus Cawangan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) Sabah, Roy Goh kepada Pengarah JBPM negeri, Nordin Pauzi di Ibu Pejabat JBPM Sabah, di sini.

Penyampaian sumbangan itu dilakukan dengan kerjasama GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd (Giant).

Roy berkata, sumbangan hasil kutipan orang ramai melalui Tabung Bencana MPB-NSTP itu diharap dapat meringankan sedikit beban anggota bomba yang ketika ini bertugas sepanjang hari bagi memastikan kebakaran hutan, khususnya di Beaufort dan Papar dapat dikawal.

"Tugas sukar pegawai dan anggota bomba ini harus diberi penghargaan kerana mereka terpaksa bertugas sepanjang hari bagi memastikan kebakaran hutan tidak terus berlarutan," katanya.

Sementara itu, Nordin berkata, beliau amat terharu dengan sumbangan diberikan menerusi Tabung Bencana NSTP-MPB yang disifatkannya menyuntik semangat anggota bomba untuk terus melaksanakan tugas serta tanggungjawab dengan baik.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X