Isnin, 11 April 2016 | 4:23pm

Projek mega kerajaan pacu pertumbuhan industri pembinaan tahun ini

MENTERI Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof (tengah) merasmikan Persidangan Pembinaan Malaysia Ke-7 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Industri pembinaan Malaysia dijangka tumbuh antara lapan dan 10 peratus tahun ini daripada 8.2 peratus pada 2015, didorong pembangunan projek mega kerajaan yang sedang dan akan dibangunkan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata beberapa pembangunan projek seperti Greater KL, Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan Lebuhraya Pantai Barat (WCE) bakal menawarkan potensi pertumbuhan memberangsangkan kepada industri berkaitan termasuk ekonomi negara.

Katanya, projek Lebuhraya Pan Borneo, Central Spine Road yang menghubungkan Bentong-Kota Bharu dan projek satu juta kediaman juga bakal memberi impak positif kepada industri pembinaan domestik.

"Kerajaan optimis untuk mencapai sasaran pertumbuhan tahun ini bersandarkan kepada projek mega yang dirancang dan sedang dibangunkan oleh kerajaan ketika ini," katanya selepas merasmikan Persidangan Pembinaan Malaysia Ke-7 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin; Ketua Eksekutif, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Datuk Ir Ahmad 'Asri Abdul Hamid; Presiden Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM), Matthew Tee; dan Pengerusi Penganjur Persidangan Pembinaan Malaysia Ke-7, Steven Aroki.

Berita Harian X