Rabu, 29 Oktober 2014 | 5:15am

Solidariti rakyat mampu lumpuhkan gerakan militan

Agama Islam tidak mengajar permusuhan dan membenci sesama manusia. Tidak dinafikan wujud fahaman sesat atau ajaran keliru terhadap Islam yang disebarkan oleh golongan tertentu untuk menyesatkan pengikutnya.

Wujudnya, guru atau pemimpin agama yang mengajarkan fahaman keliru kepada pengikut setianya menyebabkan mereka mudah melakukan tindakan luar daripada ajaran sebenar Islam termasuk melakukan keganasan. Satu contoh ialah pertubuhan kebatinan al-Ma'unah pada tahun 2000.

Selain itu, ada usaha jahat yang lahir dari pemikiran orientalis dan politik kufur Barat yang cuba mengaitkan 'terorisme' atau ideologi keganasan dengan Islam menyebabkan berlakunya salam faham terhadap Islam. Setiap kali berlakunya kejadian pengeboman atau serangan bunuh diri yang mengorbankan orang awam maka Barat akan menjadikan Islam sebagai 'kambing hitam' walaupun tanpa sebarang bukti kukuh seperti kes pengeboman di London pada tahun 2005.

Bukan Islam sebenar

Dalam Islam, terorisme termasuk dalam unsur 'hirabah'. Hirabah termasuk dalam jenayah (jarimah), iaitu melakukan perampasan, perompakan, pembunuhan dan tindakan menakutkan orang ramai dan juga merosak ketenteraman awam dengan cara anarkis. 'Al-muharib' adalah orang yang mengangkat senjata melawan orang ramai dan menakut-nakutkan mereka. Golongan ini bukanlah termasuk dalam golongan Islam sebenar.

Keganasan melampau berlaku ketika Perang Dunia Pertama dan Kedua. Begitu juga serangan udara Amerika Syarikat yang menyasarkan tempat awam di Iraq selain kezaliman Zionis Yahudi (Israel) terhadap negara Palestin sejak tahun 1948 hingga kini.

Dalam perang, Islam melarang membunuh kanak-kanak, wanita, orang tua dan orang tidak berdaya serta dilarang membakar ladang tanaman, memusnahkan kediaman awam, menceroboh rumah ibadat termasuk membunuh musuh yang berlindung dalam rumah ibadat mereka. Dalam jihad, sasaran adalah jelas dan nyata. Tujuannya juga jelas, iaitu mempertahankan dan menegakkan agama Allah serta membela hak umat Islam yang dizalimi.

Jihad juga diertikan sebagai segala usaha bersungguh-sungguh dan berterusan untuk menjaga dan meninggikan agama Allah. Jihad sebagai fardu kifayah bertukar menjadi fardu ain apabila individu Islam itu telah dipilih oleh pihak Islam untuk menyertai pasukan perang dalam sesuatu peperangan atau apabila musuh menyerang mana-mana daerah negara Islam menyebabkan penduduk atau daerah berdekatan berkewajipan menentang musuh itu. (Jihad, Kaedah dan Pelaksanaannya, Dewan Pustaka Fajar, 1986).

Tindakan luar kemanusiaan

Ketika berperang, Islam melarang melakukan tindakan di luar batas kemanusiaan seperti keganasan. Hukumnya adalah haram sama ada dilakukan oleh kelompok, negara atau individu. Amalan 'al-istisyhad', iaitu bersedia untuk mati syahid dalam 'jihad qital' yang diizinkan dianggap sebagai kematian mulia kerana adalah semata-mata untuk mempertahan dan menegakkan agama Islam dan umatnya. Firman Allah yang bermaksud: "Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya, dan sesungguhnya Allah maha berkuasa untuk menolong mereka (mencapai) kemenangan" (al-Hajj: 39).

Militan dari segi definisi ialah individu atau kumpulan yang berjuang menggunakan kaedah ganas untuk menjayakan agenda mereka seperti cita-cita politik, agama atau membuat tuntutan tertentu atau semata-mata untuk mencabar kerajaan. Mereka mempunyai cara berfikir yang sempit walaupun pengamal ajaran agama yang taat.

Militan dari segi definisi sinonim dengan terorisme. Maknanya anggota terorisme adalah juga militan dan militan itu adalah ciri terorisme. Niat sebenar perjuangan mereka adalah untuk memusnahkan sesebuah negara. Mereka boleh memulakan huru-hara dan keadaan tidak tenteram dengan hanya membuat satu kerosakan kecil saja tetapi cukup memberi impak yang besar sehingga masyarakat menjadi panik dan takut.

Jika rakyat tidak bersatu padu dan enggan beri sokongan kepada kerajaan dan pasukan keselamatan maka tindakan militan atau pengganas itu akan jadi lebih mudah. Sebaliknya, jika rakyat bersatu-padu dan menyokong kerajaan, maka aset tempur negara akan mudah menewaskan mereka.

Rakyat perlu ada kekuatan minda dan jiwa supaya berupaya mengawal khabar angin seperti jangan percaya kepada maklumat daripada sumber mencurigakan terutama daripada media sosial. Secara psikologinya, gerakan militan akan lumpuh sekiranya rakyat tidak memberi bantuan sama ada dalam bentuk material atau pun sokongan moral.

Kesimpulannya, jihad pada jalan Allah (fi sabilillah) dilakukan oleh orang yang beriman berpandukan petunjuk wahyu (al-Quran dan Hadis), manakala pencerobohan dan kerosakan dilakukan oleh kumpulan militan dan pengganas adalah mereka yang berada di jalan taghut (fi sabilitaghut) berasaskan hawa nafsu dan bisikan syaitan.

Penulis ialah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan Malaysia

Berita Harian X