Isnin, 11 April 2016 | 8:26pm

Air Asia tawar 50% diskaun bagi penumpang Rayani

SEPANG: Air Asia Berhad (AirAsia) hari ini menawarkan diskaun sebanyak 50 peratus kepada penumpang Rayani Air yang terkesan daripada penggantungan operasi syarikat penerbangan itu.

Tawaran itu hanya membabitkan perjalanan ke dan dari Kuala Lumpur, Langkawi, Kota Bharu, Kuching dan Kota Kinabalu mulai hari ini sehingga 27 April ini.

Diskaun 50 peratus itu hanya boleh dinikmati penumpang yang memegang tempahan tiket yang sudah disahkan selain mengemukakan tiket itu di mana-mana cawangan AirAsia Travel & Service Centre di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2(KLIA2) ; Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi ;Lapangan Antarabangsa Sultan Ismail Petra ;Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Ketua Komersialnya, Spencer Lee melahirkan rasa simpati terhadap penumpang terbabit dan mahu membantu mereka meneruskan hasrat mereka untuk ke destinasi masing-masing.

"Kami berasa simpati terhadap semua penumpang yang terjejas dan diharapkan diskaun potongan sebanyak 50% ini dapat membantu mereka untuk meneruskan urusan perjalanan, terutamanya dengan kekerapan penerbangan kami yang lebih luas ke destinasi terjejas.

"Mereka boleh mengunjungi ke mana-mana cawangan AirAsia Travel & Service Centre di lapangan terbang yang tersenarai malah ejen perkhidmatan Air Asia akan membantu dengan tempahan tiket penerbangan baru," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk maklumat lanjut mengenai promosi dan aktiviti terkini, orang ramai boleh layari laman media sosial, Twitter (twitter.com/AirAsia) atau Facebook (facebook.com/AirAsia).

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X