Isnin, 11 April 2016 | 10:44pm

Kenapa Ayu Damit kena jadi 'gedik'?


Ayu Damit.

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Ayu Damit, mengaku dirinya perlu menjadi 'gedik' ketika merakamkan sebuah lagu tema produk kesihatan berjudul Pasti Tak Cari Lain.

Katanya, lagu tema untuk produk keluaran Jamu Mak Dara (JMD) itu dirakam olehnya pada bulan lalu, beberapa minggu sebelum beliau dan suami mengerjakan umrah di Tanah Suci pada 28 Mac lalu.

Dirakam di sebuah studio di Kota Damansara, lagu yang mengetengahkan konsep Arab dan dangdut itu dicipta oleh Daqmie dan liriknya hasil tulisan Baiduri.

"Tawaran menyanyikan lagu tema ini berlaku secara spontan. Abang Abib (Syed Muhammad Gaddafi Syed Ali) selaku Pengarah Urusan JMD yang menawarkan peluang terbabit.

"Tiada alasan untuk saya menolak peluang ini kerana lagu itu sendiri saya rasa cukup unik. Ia mempunyai sentuhan dangdut dan Arab, selain elemen tradisional. Rentaknya memang lari daripada lagu yang pernah saya rakam sebelum ini.

"Untuk disesuaikan dengan emosi lagu berkenaan, saya kena suntik sedikit elemen 'gedik' dan senyum ketika menyanyikannya," kata Ayu yang mengambil masa tiga jam untuk merakamkannya.

Pada masa sama, Ayu yang juga juara program realiti One In A Million musim kedua turut mempromosikan single terbaharunya, Dari Hati.

Penyanyi yang bernaung di bawah Ukhwah Enigma Management memberitahu, sekali pun sibuk mengusahakan tanaman cili secara fertigasi, dunia nyanyian tidak pernah ditinggalkan.

"Selalunya, saya beri tumpuan kepada nyanyian pada Jumaat hingga Ahad. Selebihnya saya sibuk dengan urusan kerja lain. Saya juga kini menguruskan jemaah mengerjakan umrah," kata isteri kepada Syed Fauzi Syed Baharuddin ini.

Sementara itu, Abib yang ditemui ketika mengadakan malam media bersempena 10 tahun JMD di Mont Kiara, baru-baru ini memberitahu, pemilihan Ayu dilihat tepat kerana beliau mempunyai vokal unik.

"Walaupun Ayu memiliki vokal tebal dengan lenggok Sabah, namun jika diamati dan didengar betul-betul, lagu ini dibawakan olehnya dengan merdu sekali. Suara serak-serak basahnya juga menyuntik kelainan. Ia juga menjadi lagu tema pertama JMD yang dirakamkan," kata beliau.

Berita Harian X