Selasa, 12 April 2016 | 12:05am
Napuh.
Napuh.
Tuntung.
Tuntung.
Burung merak hijau.
Burung merak hijau.
Kucing batu.
Kucing batu.

Hidupan liar Malaysia di ambang kepupusan

Harimau Belang.
Harimau Belang.

KUALA LUMPUR: Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa Malaysia kini diancam masalah kepupusan serius pelbagai jenis hidupan liar sama ada flora mahu pun fauna.

Apa yang lebih memeranjatkan ialah terdapat beberapa spesies binatang liar yang kini dikatakan sudah pupus dan tidak lagi ditemui di habitat asalnya di hutan simpan kekal mahu pun taman negara di Malaysia termasuk banteng, badak Jawa, burung merak hijau, burung upeh; gajah Pygmy Borneo dan kucing batu.

Selain itu, binatang liar lain seperti gajah; badak sumatra; tapir; harimau Malaya; kancil; napuh; Orang Utan; rusa samba; beruang matahari; kambing gurun; seladang; burung kuang; black shrew atau tikus hitam pula kini di ambang kepupusan dan sukar ditemui di habitat semula jadi di hutan.

Bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G Palanivel, dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat pada 1 Julai 2014, mengesahkan bahawa Malaysia kini berdepan masalah kepupusan hidupan liar yang serius.

Malah, bilangan binatang liar berkenaan yang masih terdapat di hutan Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak amat kecil, misalnya gajah hanya 1,220 ekor; harimau belang (450), Seladang (270), rusa samba (700) dan burung upeh kira-kira 10 ekor sahaja.

Gajah Pygmy Borneo.
Gajah Pygmy Borneo.

Buaya Jenjulung.
Buaya Jenjulung.

Difahamkan keadaan itu menyebabkan Malaysia tersenarai sebagai antara negara berbahaya untuk haiwan terancam apabila sekurang-kurangnya satu perlima daripada spesies mamalia yang hampir pupus.

Selain itu, Data Bank Dunia pula menunjukkan 70 daripada 336 spesies mamalia terancam di Malaysia tercatat pada 2014 dan menjadikan ia ketujuh tertinggi di dunia dalam kategori ini.

Tiga punca utama masalah kepupusan hidupan liar di Malaysia ialah kegiatan pembukaan tanah secara besar-besaran untuk tujuan pertanian dan pembangunan hartanah, aktiviti pemburuan dan pembalakan haram yang berleluasa.

Selain itu, binatang seperti rusa sambar, harimau belang, seladang dan beruang matahari pula lambat membiak dan melahirkan anak antara satu atau dua ekor setahun dan ia memberi kesan kepada kemandiran spesies berkenaan.

Berikutan itu, Penaung Persatuan Pencinta Haiwan Selangor, Tan Sri Lee Lam Thye, menggesa kerajaan supaya segera mewujudkan satu pelan tindakan khas bagi menangani masalah kepupusan hidupan liar termasuk harimau, gajah, badak sumtra dan pelbagai spesies haiwan lain yang kini di ambang pupus.

Penaung Persatuan Pencinta Haiwan Selangor, Tan Sri Lee Lam Thye
Penaung Persatuan Pencinta Haiwan Selangor, Tan Sri Lee Lam Thye

Beliau yang juga aktivis masyarakat, berkata kerajaan juga wajar mewartakan kawasan tertentu di taman negara dan pusat perlindungan hidupan liar sebagai zon larangan.

Katanya, kerajaan perlu mewujudkan laluan khas bagi membolehkan haiwan liar melintas di kawasan jalan dan lebuh raya bagi mengelak mereka turut menjadi mangsa kemalangan jalan raya.

"Saya melihat langkah ini perlu kerana masalah kepupusan hidupan liar di negara ini semakin kritikal berikutan pelbagai ancaman, termasuk kegiatan pembangunan tidak terancang, pembalakan dan pemburuan haram serta kelemahan penguatkuasaan undang-undang sedia ada.

"Saya berharap semua pihak terutama kerajaan dan masyarakat dapat meningkatkan kerjasama bagi mengurangkan risiko berlakunya masalah kepupusan hidupan liar di Malaysia supaya ia dapat dinikmati oleh generasi akan datang," katanya ketika dihubungi BH di sini, semalam.

Apa guna Malaysia mempunyai undang-undang termasuk Akta Perlindungan Hidupan Liar 2010; Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 dan Akta Taman Negara 1980 jika ia tidak dapat melindungi flora dan fauna kita daripada terus pupus.

Berita Harian X