Rabu, 29 Oktober 2014 | 9:23am

Malaysia di tangga ke-18 Laporan Menjalankan Perniagaan 2015

KUALA LUMPUR: Laporan Menjalankan Perniagaan 2015 yang dikeluarkan oleh International Finance Corporation (IFC) Bank Dunia meletakkan Malaysia di tempat ke-18 dalam kalangan 189 ekonomi dunia, meningkat dua anak tangga daripada ke-20 sebelumnya.

Kedudukan terbaharu itu meletakkan Malaysia mendahului beberapa ekonomi maju seperti Taiwan yang berada di tempat ke-19, Switzerland (20), Thailand (26), Belanda (27) dan Jepun (29).

Malaysia juga berada di tempat kedua dalam kalangan negara ASEAN dan keempat di rantau Asia selepas Singapura, Hong Kong dan Korea Selatan.

Secara keseluruhan, Malaysia meraih skor 78.83, meningkat berbanding 76.84 dalam laporan sebelumnya.

Menerusi Laporan Menjalankan Perniagaan 2015, IFC Bank Dunia menukar kaedahnya untuk menilai prestasi setiap negara iaitu dengan menggunakan skor 'Jarak Kepada Peneraju' (DTF) berbanding kedudukan menggunakan peratusan sebelum ini.

Skor DTF menunjukkan jurang di antara prestasi sesebuah ekonomi dengan prestasi terbaik yang dicatatkan bagi setiap petunjuk.

Bank Dunia berpendapat bahawa kaedah itu memberikan kejelasan terhadap penambahbaikan yang perlu dibuat oleh negara yang terbabit selain berusaha untuk meningkatkan daya saing masing-masing.

Berdasarkan kaedah baharu itu, Malaysia mencatatkan penambahbaikan dalam lima petunjuk iaitu Memulakan Perniagaan, Urusan Permit Pembinaan, Kemudahan Bekalan Elektrik, Pendaftaran Hartanah dan Penyelesaian Insolvensi.

Penambahbaikan itu mencerminkan hasil beberapa inisiatif yang dilaksanakan kerajaan menerusi Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) di samping tugas yang dilaksanakan oleh Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH).

Inisiatif GTP, ETP dan PEMUDAH adalah usaha bersepadu secara terangkum oleh sektor awam serta swasta bagi memastikan ketidakcekapan operasi di samping mengkaji semula pelbagai prosedur dan peraturan.

PEMUDAH menggunakan Laporan Menjalankan Perniagaan sebagai asas untuknya menambah baik persekitaran perniagaan dan pelaburan.

Ia bekerjasama dengan pelbagai entiti seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG), Suruhanjaya Tenaga, Penguatkuasa Tempatan, Bank Negara Malaysia, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Antara penambahbaikan yang dilaksanakan termasuklah penubuhan Mahkamah Sivil Baharu (NCvC) di Mahkamah Rendah untuk membenarkan kes yang berdaftar diselesaikan dalam masa sembilan bulan dan bertujuan untuk pemantauan mudah dibaut oleh Hakim Mengurus.

Selain itu, mewujudkan Portal Kenyataan Impak Kawal Selia (RIS) yang berfungsi sebagai sumber repositori dan rujukan kepada pegawal selia dan melaksanakan OSC 3.0 iaitu sebuah sistem yang memasukkan amalan baik antarabangsa bagi penyelarasan prosedur serta peraturan untuk pengeluaran permit atau lesen oleh penguatkuasa tempatan.

Penambahbaikan juga termasuk pengenalan perkhidmatan 'e-filing' dan 'e-Payment' bagi cukai jualan untuk mengurangkan masa yang diambil untuk menfail dan membayar cukai jualan.

Turut dilaksanakan ialah Tatacara Operasi Standard untuk menambah baik sistem pemeriksaan bagi import dan eksport serta mengurangkan masa yang diambil bagi proses pelepasan Kastam.

Pada masa depan, PEMUDAH akan bekerjasama dengan IFC Bank Dunia untuk mengkaji bidang berkenaan dengan lebih mendalam bagi tujuan penambahbaikan serta bekerjasama dengan kerajaan untuk mengurangkan kos dan masa untuk menjalankan perniagaan di negara ini.

Usaha sedemikian adalah bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelaburan lebih menarik.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X