Selasa, 12 April 2016 | 8:02am

Ibrahimovic akan hukum City - Blanc

PENYERANG Paris Saint-Germain (PSG), Zlatan Ibrahimovic . - Foto AFP

MANCHESTER: Jurulatih Paris Saint-Germain (PSG) Laurent Blanc percaya Zlatan Ibrahimovic tidak akan 'belas kasihan' lagi kepada pertahanan Manchester City ketika kedua-dua pasukan bertembung pada aksi kedua suku akhir Liga Juara-Juara, awal pagi esok.

Ibrahimovic yang tampil penjaring terbanyak sepanjang zaman PSG, mensia-siakan peluang keemasan ketika seri 2-2 pada suku akhir pertama termasuk sepakan penalti yang diselamatkan Joe Hart dan gagal menyudahkan peluang terbuka ketika gawang sudah ternganga.

Bagaimanapun, dia berjaya menemui gawang pada minit ke-41 dan Blanc percaya bintang sensasi Sweden itu tidak akan mensia-siakan lagi peluang yang diperolehnya awal pagi esok.

"Kami sentiasa terkejut apabila Zlatan melepaskan peluang," kata jurulatih PSG, Laurent Blanc. "Sebagai seorang penyerang, ia sentiasa berlaku dalam karier atau satu-satu perlawanan. Malang bagi kami dan juga dia kerana ia berlaku pada perlawanan itu.

"Tetapi dia tetap menjaringkan gol. Ia mungkin jaringan yang kita tidak jangka tetapi ia tetap gol. Saya pasti dia akan menunjukkan sesuatu yang berbeza pada perlawanan suku akhir kedua terutamanya daripada segi ketajaman penyudah.

"Daripada statistik, kamu tidak boleh meragui keupayaannya." AFP

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X