Selasa, 12 April 2016 | 3:43pm

Moratorium Bauksit: Polis tunggu arahan MB

BEKAS lombong bauksit di Bukit Goh. - Foto Farizul Hafiz Awang
BEKAS lombong bauksit di Bukit Goh. - Foto Farizul Hafiz Awang

KUANTAN: Polis masih menunggu arahan daripada Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob sama ada mahu meneruskan tindakan penguatkuasaan ke atas aktiviti perlombongan bauksit atau sebaliknya, selepas Kabinet bersetuju tempoh moratorium dilanjutkan tiga bulan lagi.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Sharifuddin Ab Ghani, berkata pada masa ini, penguatkuasaan aktiviti perlombongan bauksit dilaksanakan seperti biasa hingga tarikh akhir moratorium Jumaat ini.

"Bagaimanapun tindakan selanjutnya tertakluk kepada arahan Menteri Besar sama ada kita teruskan (moratorium) atau tidak sehingga tempoh tambahan tiga bulan lagi (Julai) tamat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Karnival Kesihatan, Hari Saringan Kesihatan dan Derma Darah anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Pahang sempena Sambutan Hari Polis ke-209, di sini, hari ini.

Jumaat lalu, Kabinet bersetuju melanjutkan tempoh moratorium aktiviti perlombongan bauksit di Kuantan, sehingga tiga bulan lagi.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dilaporkan berkata moratorium itu yang sepatutnya berakhir Jumaat ini dilanjutkan bagi membolehkan stok simpanan bauksit sedia ada dieksport.

Sepanjang tempoh penguatkuasan, polis mewujudkan sembilan pusat pemeriksaan yang beroperasi 24 jam sebagai tindakan penguatkuasaan ke atas isu perlombongan bauksit di sini.

Sembilan lokasi itu ialah Bukit Kuantan, Tanjung Pasir, Kampung Padang, Taman Datuk Rashid, Shahpadu, berhadapan Pejabat SIRIM di Jalan Pintasan Kuantan, Bukit Penggorak, Sungai Ular dan Jabor.

Pemeriksaan itu turut membabitkan penguatkuasaan oleh agensi lain termasuk Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Berita Harian X