Rabu, 13 April 2016 | 12:04am
NIK Ramezi menunjukkan antara anugerah yang diterimanya menerusi hobi mengumpul mata wang yang diusahakan sejak empat tahun lalu. - Foto Zaman Huri Isa
KOLEKSI buku rujukan mengenai matawang. - Foto Zaman Huri Isa
ANTARA peralatan yang boleh digunakan bagi menilai ketulenan duit lama. - Foto Zaman Huri Isa
ANTARA koleksi duit syiling lama. - Foto Zaman Huri Isa
ANTARA wang kertas lama dikumpul Nik Ramezi . - Foto Zaman Huri Isa

Wang kertas RM1 dibida RM13,500



KOTA BHARU: Wang kertas nota RM1 keluaran tahun 2000 yang ditandatangani Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Ali Abul Hassan Sulaiman serta 'pohon pitis' Kesultanan Melayu Kelantan, menjadi buruan peminat kerana mempunyai nilai tersendiri.

Nota RM1 yang ditandatangani Ali Abul Hassan pernah menarik bidaan sehingga RM13,500 dalam satu lelongan dua tahun lalu, manakala 'pohon pitis' pula mempunyai nilai pasaran sehingga RM25,000 sepohon.

Pengumpul wang lama, Nik Ramezi Muhammad, 46, yang mempunyai hampir 3,000 unit koleksi duit lama, berkata nota RM1 itu diedarkan ketika proses pertukaran Gabenor Bank Negara daripada Ali Abul Hassan kepada Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

"Nota RM1 dengan tanda tangan Ali Abul Hassan dikatakan tidak sepatutnya dicetak dan sudah dilupuskan Bank Negara Malaysia (BNM). Berikutan itu, saki baki yang tinggal kini dianggap 'unik' oleh pengumpul mata wang sehingga ada yang sanggup berhabisan mendapatkannya.

"Nota RM1 yang ditandatangani Ali Abul Hassan itu diedarkan sebanyak 50,000 keping sahaja. Ia menjadi rebutan kerana semakin sukar didapati dan yang uniknya tandatangan beliau, jika dibaca kelihatan seperti nama Aisyah," katanya kepada BH, ketika ditemui di rumahnya.


PENGUMPUL duit lama, Nik Ramezi Muhammad. - Foto Zaman Huri Isa

SEBAHAGIAN koleksi duit lama yang dikumpul Nik Ramezi sejak empat tahun lalu. Foto Zaman Huri Isa

Nik Ramezi mendakwa, melihat sendiri seorang lelaki membeli nota RM1 dengan tandatangan Ali Abul Hassan itu pada harga bidaan RM13,500 di Muzium Negara pada 2014.

"Setiap duit lama mempunyai kisahnya yang tersendiri. Kisah yang unik dan menarik meningkatkan nilainya. Orang yang tidak tahu perihal sejarah duit menganggapnya tiada sebarang keistimewaan, tetapi pengamal ilmu numismatik, ia amat bernilai.

"Nilai duit lama bukan sahaja bergantung kepada tarikh dihasilkan, malah bergantung juga pada keadaan dan terhad untuk kebarangkalian memilikinya.

"Ilmu numismatik ini diamalkan di seluruh dunia. Oleh itu ada sebuah pertubuhan yang ditubuhkan untuk memberi markah kepada duit lama ini iaitu Paper Money Guarantee (PMG) untuk duit kertas dan National Grading Coin (NGC) yang berpusat di luar negara.

"Di Malaysia juga, kita sudah ada badan sendiri iaitu Penggredan Numismatik Malaysia (PNM) yang terbabit khusus dalam menggred duit lama Kesultanan Melayu.

Nik Ramezi atau lebih selesa dengan nama panggilan 'Poknik Collector' bekerja sebagai kontraktor menjadikan usaha mengumpul duit lama sebagai hobi.


DUIT Kijang yang pernah digunakan ketika zaman Kesultanan Melayu Kelantan-Pattani di bawah pemerintahan raja pertama Kelantan, Cik Siti Wan Kembang. - Foto Zaman Huri Isa

SEBAHAGIAN koleksi duti lama yang dikumpul Nik Ramezi. Foto Zaman Huri Isa

Selepas empat tahun membina hobi mengumpulkan duit lama, dia kini mempunyai hampir 3,000 unit koleksi mata wang yang dianggarkan bernilai hampir RM1 juta.

Antara koleksi paling berharga miliknya adalah 'pohon pitis yang dibuat pada tahun 1904 sebagai hadiah kepada pembesar negeri dan mereka yang berpangkat tinggi seperti penggawa pada masa itu.

"Pohon pitis dibuat dengan duit syiling yang digantung padanya. Jika duit itu hendak digunakan ia akan dipatahkan dari pohon berkenaan. Jadi ia amat terhad kerana sukar mencari 'pohon pitis' yang masih dipenuhi duit syiling seperti ini.

Kondisi pohon pitis yang masih sempurna milik Nik Ramezi mampu mencecah nilai pasaran RM25,000.

Namun menurutnya, jika ditawarkan harga sehingga RM50,000 sekalipun, dia masih tidak mahu menjualnya kerana nilai sentimental pohon pitis terbabit.

Katanya, satu sebab beliau menggemari ilmu numismatik adalah kerana asal usul logo kijang diguna pakai BNM berasal dari negeri kelahirannya, negeri Cik Siti Wan Kembang.

Pendapatnya itu dibuktikan dengan 'duit kijang' miliknya yang dianggarkan berusia lebih 500 tahun. Ia diberi nama itu kerana gambar kijang pada mukanya.


KOLEKSI 'pohon pitis' milik Nik Ramezi adalah antara buruan peminat mata wang lama kerana nilainya yang tinggi. - Foto Zaman Huri Isa

KOLEKSI 'pohon pitis' Kesultanan Melayu Kelantan. - Foto Zaman Huri Isa

"Duit kijang ini adalah mata wang zaman Kesultanan Melayu Kelantan-Pattani ketika pemerintahan raja pertama Kelantan, Cik Siti Wan Kembang. Kesahihan tarikh duit itu tidak dapat ditentukan kerana tiada rekod bertulis mengenainya, namun ramai berpendapat ia dibuat sekitar tahun 1500.

Beliau juga menasihati peminat duit lama supaya mempelajari ilmu numismatik supaya tidak tertipu dengan duit palsu yang tidak bernilai.

"Cara pertama mengenali duit itu tulen atau tidak, pengumpul boleh merujuk kepada bahan bacaan yang sahih ataupun orang yang lebih mahir. Untuk duit syiling, duit tulen haruslah beratnya melebihi 26 gram (g) dan jika kurang ia adalah palsu.

"Saya sudah berbelanja lebih RM400,000 untuk mengumpul semua koleksi yang saya miliki sekarang. Koleksi ini diperoleh dengan cara membeli dari pengumpul lain dan juga mencarinya sendiri menggunakan alat mengesan logam di permukaan berpasir.

Segala usahanya mengumpul duit lama adalah semata-mata untuk memelihara peninggalan sejarah terutamanya untuk rujukan generasi akan datang.

Dalam usaha memberi kesedaran dan berkongsi pengetahuan mengenai mata wang lama dengan orang ramai, Nik Ramezi akan berada setiap malam minggu di Pasar Karat Kelantan di Kota Bharu bersama koleksinya.

Berita Harian X