Rabu, 13 April 2016 | 7:45am

Hujan diramal sebelah petang

TINJAUAN cuaca hari ini setakat jam 7 pagi tadi. - Sumber www.met.gov.my

KUALA LUMPUR: Cuaca di kebanyakan negeri di semenanjung pagi ini dilaporkan cerah dengan suhu antara 18 hingga 28 darjah Celsius.

Bagaimanapun, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), melaporkan hujan diramalkan berlaku di satu dua tempat di kawasan pantai Johor dan Perak, Labuan, pantai barat dan pedalaman Sabah serta Kapit di Sarawak.

Pada sebelah petang, keadaan cuaca berubah dengan kebanyakan kawasan di Johor, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Perlis, Putrajaya, Selangor, Terengganu dan Wilayah Persekutuan diramal mengalami hujan serta ribut petir di satu dua tempat di negeri Pahang.

Keadaan sama dijangka berlaku di Tawau serta pantai barat dan pedalaman Sabah, manakala semua kawasan di Sarawak diramalkan berlaku ribut petir di satu dua tempat.

Pada sebelah malam pula, hanya negeri Pahang dijangka mengalami hujan di satu dua tempat begitu juga di Labuan, pantai barat serta di Sandakan dalam negeri Sabah, namun ribut petir diramal berlaku di kawasan pedalaman.

Hujan juga dijangka berlaku di satu dua tempat di negeri Sarawak membabitkan kawasan Betong, Bintulu, Kapit, Miri, Samarahan, Sarikei, Sibu dan Sri Aman manakala, lain-lain tempat tiada hujan.

Berita Harian X