Rabu, 13 April 2016 | 3:45pm
REMY Ishak. - Foto Halimaton Saadiah bte Sulaiman

Azrel tak kisah dikata klon Remy Ishak


PELAKON Azrel Ismail. - Foto Rohanis Shukri

KUALA LUMPUR: Biarpun dirinya sering dikaitkan dengan Remy Ishak berikutan wajah mereka yang dikatakan hampir sama, pelakon, Azrel Ismail mengaku beliau belum pernah berjumpa dengan aktor popular berkenaan.

Bakat baharu terbabit berkata, jika berpeluang dia tentu saja ingin bertemu dengan pelakon lelaki yang mula menempa nama menerusi drama Nur Kasih itu.

"Kebetulan kami berada dalam industri sama dan kalau ada rezeki untuk bersua dengannya, memang saya teringin sekali berbuat demikian. Jika diikutkan, kami pernah cuba digandingkan bersama dalam sebuah drama, tetapi ketika itu rezeki pula nampaknya tidak menyebelahi saya," kata Azrel.

Mengenai tanggapan sesetengah pihak dirinya menerima tawaran berlakon berikutan wajahnya yang mirip bintang filem Redha itu, Azrel berkata, dia tidak menolak perkara berkenaan.

Azrel sendiri tidak melihat semua itu sebagai tekanan besar ke atas dirinya. Pada masa sama dia juga tidak sesekali berniat menumpang populariti pelakon lebih berpengalaman itu.

"Saya sebaliknya melihat perkara itu dari sudut positif dan saya juga bersikap terbuka mengenainya. Sebagai bakat baharu, saya anggap ia penghargaan apabila dikaitkan dengan nama besar seperti beliau.

"Berikutan wajah saya dilihat mempunyai persamaan dengannya, tawaran berlakon datang kepada saya. Saya sedikit sebanyak terkena tempiasnya. Saya juga memutuskan untuk serius dalam lakonan apabila tawaran berterusan diterima. Dari aspek itu, persamaan yang ada memang membantu.

"Cuma, jika hendak dibandingkan dengan Remy, memang sukar kerana beliau sudah mempunyai nama yang besar," katanya yang percaya, lama-kelamaan dirinya juga akan dikenali dengan identitinya sendiri dalam lakonan.

Syurga Nur, katanya menjadi antara drama yang sudah mula membezakan dirinya dengan pelakon berbakat berkenaan.

Baru saja muncul dengan drama Isteri VS Tunang di Astro, kini Azrel tampil pula bersama drama Bodyguard dan Ahli Mesyuarat Tingkat, masing-masing siaran TV3.

Berita Harian X