Rabu, 13 April 2016 | 7:54pm
STATUS Twitter Uqasha.

Hafidz berang tindakan Uqasha

UQASHA Senrose dan Hafidz Roshdi. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

KUALA LUMPUR: Pelakon, Hafidz Roshdi, 22, mengakui dirinya berang dengan tindakan Uqasha Senrose memuat naik status di Twitter menyindir tunangnya yang cemburu melihat kemesraan mereka di laman sosial.

Hafidz atau nama penuhnya, Muhammad Hafidz Roshdi, bagaimanapun berkata, beliau sudah pun menghubungi Uqasha bagi menyelesaikan perkara itu dan berharap ia tidak lagi berulang.

"Saya bengang kerana beliau mengata tunang saya secara umum dan bagi saya, ia tidak patut berlaku. Saya sudah pun menghubunginya berhubung perkara itu.

"Apapun saya dan tunang masih baik dan isu yang dibangkitkan Uqasha tidak menjejaskan perhubungan kami," katanya kepada BH Online.

Menerusi laporan BH Online beberapa hari lalu, Hafidz berkongsi kisah tunangnya dikenali sebagai Mawar, cemburu dengan Uqasha yang juga rakan gandingannya dalam drama rantaian, Tundukkan Playboy Itu.

Perkara itu membuatkan Uqasha memuat naik status di Twitter menyindir kenyataan berkenaan dan menganggap ia tidak patut dihebahkan kepada media. Malah, Uqasha turut menjelaskan apa yang dilakukannya bersama Hafidz adalah sekadar lakonan.

STATUS Instagram Hafidz.

Uqasha turut menyatakan perkara itu sudah lama disimpan, namun ia dilihat semakin menjadi-jadi. Luahannya itu turut mendapat pelbagai reaksi daripada peminat dan netizen.

Sindiran itu bagaimanapun membuatkan Hafidz bengang, yang kemudiannya menyaksikan beliau memuat naik status di Instagram menyuarakan rasa tidak puas hatinya terhadap aktres terbabit.

Bagaimanapun 'posting' berkenaan sudah pun dipadamkan.

Hafidz berkata, beliau memadamkan 'posting' itu kerana enggan memanjangkan lagi isu terbabit selain menyalahkan dirinya sendiri apabila memuat naik status sedemikian.

"Ketika saya muat naik status itu di Instagram, saya sangat marah. Apabila difikirkan balik, saya tidak patut bertindak sedemikian, seolah-olah masalah itu tiada penghujungnya. Jadi saya padamkan 'posting' itu.

"Apabila saya berkongsi mengenai kisah tunang cemburu, bukan bermakna perasaan itu dibawa sehingga menjadi pergaduhan. Ia sekadar cemburu biasa, di mana semua pasangan akan merasainya. Tetapi lain pula yang terjadi apabila beliau memuat naik status seperti itu," ujarnya.

Ketika ditanya adakah beliau masih mahu berganding dengan Uqasha sekiranya mendapat tawaran berbuat demikian pada masa akan datang, Hafidz menjawab: "Jangan tanya saya nak berlakon lagi dengan dia atau tidak buat masa sekarang ini please. Hahaha..."

Berita Harian X