Khamis, 14 April 2016 | 9:01am

Pemandu rentung, penumpang parah bersaudara


PERODUA Kenari yang hangus dalam kemalangan di Kilometer 246 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara. - Foto Bomba

PEMANDU rentung kerana terperangkap dalam kereta dan mayat dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban. - Foto Bomba

REMBAU: Seorang wanita rentung, manakala rakan wanitanya parah apabila kereta mereka terbakar dalam kemalangan di Kilometer 246 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, pagi tadi.

Dalam kejadian berhampiran Hentian Rehat Senawang di sini, kira-kira jam 5 pagi itu, PERODUA Kenari yang mereka naiki dipercayai terbabas dan terbalik menyebabkan kereta itu terbakar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Penolong Penguasa Bomba Mohd Fuad Majid, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 5.01 pagi dan seminit kemudian, dua jentera bersama sembilan anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

"Ketika pasukan itu tiba di tempat kejadian pada jam 5.27 pagi, seorang penumpang sempat diselamatkan oleh orang ramai.

Bagaimanapun, pemandu rentung kerana terperangkap dalam kereta dan mayat dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban," katanya di sini, hari ini.

Sehubungan itu, adik kepada pemandu PERODUA Kenari yang rentung dalam kemalangan itu, terlalu sedih selepas melihat jenazah kakaknya di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini.

Nurul Izzaty Ibrahim, 29, yang tinggal di Mantin dekat sini, menjadi orang pertama membuat pengecaman terhadap jenazah Nurul Aida, 30, di bilik mayat HTJ hari ini.

Seorang lagi penumpang kereta itu yang cedera parah dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi HTJ ialah sepupunya, Syazila Zailani, 30.

"Saya sedih kerana Aida sangat rapat dengan saya. Malah saya anggap dia sebagai adik kerana sikapnya yang lemah lembut," katanya ketika ditemui di HTJ.

Ibu Syazila, Baeyah Kasian, 54, yang datang dari Setapak, Kuala Lumpur, pula sedih dengan keadaan anaknya yang patah kedua-dua kaki dan mengalami kecederaan dalaman.

"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana dia selamat walaupun kereta yang dinaiki terbalik dan terbakar dalam kemalangan itu," katanya.

Kemalangan berlaku ketika Nurul Aida yang tinggal di Johor Bahru, menghantar pulang Syazila, ke Kuala Lumpur, selepas sepupunya menghadiri satu majlis perkahwinan di bandar raya itu, minggu lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun, berkata Nurul Aida yang memandu kereta meninggal dunia di tempat kejadian selepas terperangkap di tempat duduknya, manakala Syazila tercampak keluar dari kereta itu.

Katanya, pemandu hanya dapat dikeluarkan dari kereta selepas pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat tiba di tempat kejadian kira-kira jam 5.27 pagi dan memadamkan kebakaran.

"Siasatan awal mendapati kereta yang mereka naiki, dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke lorong paling kiri lalu melanggar penghadang tepi lebuh raya. Kereta itu kemudian terbalik dan terbakar," katanya memberitahu kejadian itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


KEADAAN kereta PERODUA Kenari yang dipandu Nurul Aida Ibrahim ketika nahas di Kilometer 246.3 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat Senawang, kira-kira jam 5 pagi tadi.

KENDERAAN dipercayai terbabas dan terbalik menyebabkan kereta itu terbakar. - Foto Bomba
Berita Harian X