Khamis, 14 April 2016 | 11:36am

Tak salah guna kaskas dalam masakan - KPN

KETUA Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar. - Foto Surianie Mohd Hanif

KUALA LUMPUR: Polis tidak akan mengambil tindakan terhadap individu mahu pun pengusaha makanan yang menggunakan kaskas atau biji popi dalam masakan mereka.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata ini kerana kandungan yang digunakan sedikit dan tidak mendatangkan mudarat terhadap kesihatan.

"Jangan bimbang untuk guna (kaskas) kerana ia sudah menjadi sebahagian daripada ramuan masakan.

"Tetapi, janganlah sampai berlebihan," katanya selepas program Derma Darah sempena Hari Polis ke-209 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), di sini, pagi ini.

Semalam, Kementerian Kesihatan dilaporkan tidak bercadang mengharamkan penggunaan kaskas kerana penggunaan rempah ratus itu dibenarkan dan digunakan secara meluas untuk meningkatkan keenakan masakan.

Menterinya, Datuk Seri S Subramaniam, bagaimanapun berkata, pemantauan akan dibuat bagi memastikan tidak berlaku penyalahgunaan atau pengambilan secara berlebihan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penggunaan kaskas sebagai penambah rasa produk kek oleh beberapa premis menjual kek di ibu negara, yang dipercayai boleh menyebabkan ketagihan dan khayal.

Berita Harian X