Khamis, 14 April 2016 | 3:02pm

Sultan Johor cadang tubuh Bank of Johor


SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan merasmikan Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri Johor Ke-13 di Bangunan Sultan Ibrahim di Bukit Timbalan, Johor Bahru, hari ini. - Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, hari ini bertitah mencadangkan kerajaan negeri menubuhkan sebuah bank sendiri yang dinamakan sebagai Bank of Johor.

Baginda bertitah, masih ramai rakyat di negeri ini yang tidak dapat memiliki rumah kerana gagal mendapatkan pinjaman bank meskipun kerajaan negeri dan Persekutuan terus komited dalam membina lebih banyak rumah mampu milik.

"Bank ini akan memberikan perkhidmatan perbankan kepada rakyat Johor bukan sahaja untuk tujuan pinjaman perumahan atau pembiayaan projek pembangunan, tetapi juga untuk simpanan tabungan dan pelaburan.

"Tambahan pula dengan rizab wang tunai kerajaan negeri yang mencecah RM3 bilion dan pendapatan kerajaan serta anak syarikat milik kerajaan negeri mencecah RM7.5 bilion setahun, sudah pasti mereka boleh menjadi pemegang saham untuk Bank of Johor ini," titah baginda.

Baginda bertitah ketika berkenan berangkat merasmikan Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri Johor Ke-13 di Bangunan Sultan Ibrahim di Bukit Timbalan, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim; Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar dan Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman.

Sultan Ibrahim turut menyambut baik kerjasama yang dihulurkan Bank Rakyat kepada Yayasan Sultan Ibrahim untuk menyediakan pembiayaan pembelian rumah bagi membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri.

"Urusan pendaftaran permohonan pinjaman ini akan dibuka tidak lama lagi dan pemilihan akan dibuat oleh satu jawatankuasa khas berdasarkan kepada beberapa kriteria yang sudah ditetapkan," titah baginda.

679 dibaca
Berita Harian X