Khamis, 14 April 2016 | 4:53pm
KIRA-KIRA 350 nelayan Teluk Bahang dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang Datuk Shah Headan Ayoob Hussein Shah membuat bantahan aman mendesak Kerajaan Negeri untuk menyemak semula prosedur kertas kerja yang diberikan kepada kontraktar yang membuat penambakan laut di sepanjang persiaran Gurney. - Foto BERNAMA

Kontraktor buang sisa selut, nelayan terjejas

BATU FERINGGHI: Tindakan kontraktor tambakan membuang sisa selut di perairan berdekatan Pantai Teluk Bahang mengundang kemarahan lebih 300 nelayan pantai kawasan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah, berkata nelayan terbabit bakal hilang punca pendapatan jika kawasan perairan berkenaan menjadi cetek dan lokasi pembiakan ikan ditimbus sisa selut.

Katanya, kerajaan negeri perlu campur tangan dalam isu berkenaan kerana kontraktor terbabit mendapat tender menambak laut sebelum membuang sisa selut di Teluk Bahang.

"Kerajaan negeri seharusnya memantau kerja menambak laut yang dilakukan kontraktor kerana kawasan perairan Teluk Bahang bakal terjejas jika sisa selut terus dibuang di sini.

"Nelayan di sini bukan sahaja terdiri daripada masyarakat Melayu, malah ada nelayan Cina dan India mencari rezeki menangkap ikan di perairan Teluk Bahang," katanya pada sidang media di sini.

Difahamkan, kontraktor terbabit mendapat kontrak menambak laut di perairan berdekatan Gurney Drive yang memerlukan mereka menyedut sisa selut dan pasir sebelum projek pembangunan dapat dilakukan.

Shah Headan berkata, ekosistem perairan Teluk Bahang berdepan ancaman serius jika usaha menghalang pembuangan sisa selut tidak dilakukan mulai sekarang.

Katanya, kerajaan negeri perlu bertanggungjawab sekiranya pendapatan nelayan pantai terjejas akibat kegiatan pembuangan sisa tidak terkawal oleh kontraktor terbabit.

Berita Harian X