Rabu, 29 Oktober 2014 | 2:11pm

Buruh terlepas hukuman gantung sampai mati tuduhan edar ganja

SARIFF Shafie (tengah) bersama peguamnya di luar Mahkamah Tinggi Ipoh selepas dibebaskan dari tuduhan mengedar ganja, dua tahun lalu. - Foto Supian Ahmad
SARIFF Shafie (tengah) bersama peguamnya di luar Mahkamah Tinggi Ipoh selepas dibebaskan dari tuduhan mengedar ganja, dua tahun lalu. - Foto Supian Ahmad

IPOH: Seorang buruh terlepas daripada hukuman gantung sampai mati selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskannya daripada tuduhan mengedar ganja, dua tahun lalu.

Sariff Shafie, 31, tersenyum sambil menoleh ke belakang memerhatikan ahli keluarganya sebaik Pesuruhjaya Kehakiman Noorin Badaruddin membacakan keputusan itu.

Noorin berkata, mahkamah tidak boleh memanggil tertuduh untuk membela diri kerana pihak pendakwa gagal membuktikan kes facie terhadap tertuduh di peringkat kes pendakwaan.

Katanya, kredibiliti seorang saksi dikemukakan oleh pendakwa boleh diragui selain ada keterangan saksi yang tidak disokong dengan keterangan saksi lain yang sepatutnya.

"Saya tidak dapat penemuan milikan positif pada tertuduh walaupun keterangan mengatakan dadah ditemui pada tubuhnya dan tiada pula sokongan kepada keterangan SP4 (pegawai tangkapan), jadi saya tidak boleh memanggil tertuduh untuk membela diri," katanya.

Sariff didakwa mengedar 226 gram ganja di belakang rumah No 105, Kampung Ujong Pasir, Pengkalan Bharu, Pantai Remis pada kira-kira jam 5.30 petang pada 24 September 2012.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati.

Pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya How May Ling manakala tertuduh Charan Singh.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X