Khamis, 14 April 2016 | 8:52pm

Kerajaan disaran kaji kesan pengambilan kaskas

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan disaran membuat kajian khusus mengenai kesan pengambilan kaskas atau biji popi yang didakwa boleh menyebabkan ketagihan dan khayal jika diambil secara berlebihan.

Pensyarah dan Penyelidik Jabatan Sains Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Azizah Hamid, berkata kajian dan analisis menyeluruh perlu bagi menjawab segala dakwaan dibangkitkan segelintir individu.

"Kandungan dadah dalam kaskas sangat rendah iaitu antara empat hingga 200 miligram bagi setiap satu kilogram... masyarakat kena faham, biji popi mempunyai beberapa jenis dan kebanyakannya mempunyai khasiat tersendiri.

"Sehingga kini tiada kajian kukuh yang mengatakan kaskas itu bahaya atau memudaratkan kesihatan sebaliknya terdapat kajian dari luar negara menunjukkan kaskas berpotensi mencegah kanser," katanya ketika dihubungi BH.

Pada Isnin lalu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Wan Abdullah Ishak, berkata beberapa premis menjual kek di ibu negara dikesan menggunakan biji popi sebagai bahan penambah rasa yang boleh menyebabkan ketagih dan khayal jika diambil melebihi dos.

Beliau berkata, berdasarkan ujian saringan awal, pihaknya mendapati kek berkenaan positif opiat atau candu.

Bahan larangan itu ditabur di atas kek bagi menambah rasa yang jika diambil secara berlebihan boleh mendatangkan mudarat dan pelbagai kesan sampingan kepada orang ramai.

Prof Azizah turut membidas sesetengah pihak yang mendakwa makanan yang mengandungi kaskas akan menyebabkan seseorang itu menjadi khayal.

"Betulkah orang yang makan makanan ada biji popi boleh menyebabkan dia berhalusinasi. Kita kena siasat, jika tak siasat atau kaji perkara ini, kita tidak akan tahu punca sebenar. Kena ada bukti," katanya.

Mengulas lanjut, Prof Azizah berkata, isu penggunaan kaskas sudah lama dibiarkan tanpa noktah, justeru kajian khusus mengenai pengambilan kaskas kepada manusia harus dipercepatkan.

"Tidak kisahlah sesiapa yang mahu mulakan (kajian) dahulu, usaha ke arah itu harus digerakkan secepat mungkin kerana isu ini kerap disensasikan sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengguna, sekali gus dikhuatiri mendatangkan implikasi yang tidak baik kepada industri makanan," katanya.

Berita Harian X