Khamis, 14 April 2016 | 10:13pm

6 pengarah jayakan kempen Karya 12


Astro Citra rancakkan industri perfileman tempatan dengan pelancaran 'Karya 12' bakal bersiaran setiap Sabtu dan Ahad bermula dari 30 April 2016 ini, jam 10 malam, saluran 131 dan Mustika HD saluran 134.

KUALA LUMPUR: Enam pengarah terkenal dipilih menjayakan kempen bagi menyemarakkan industri perfileman tanah air, Karya 12, inisiatif saluran Astro Citra. Mereka ialah Yusry Abdul Halim, Osman Ali, Sabri Yunus, Bernard Chauly, Michael Ang dan Ghaz Abu Bakar.

Pengarah itu turut bertindak sebagai mentor kepada pelajar jurusan seni filem daripada institusi pengajian tinggi tempatan, masing-masing seorang daripada Universiti Utara Malaysia, Universiti Malaysia Sabah, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan, Universiti Teknologi Mara, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Multimedia.

Pencarian peseta diadakan bermula sejak November 2015 sehingga Januari tahun ini.Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh, berkata projek itu bagaimanapun tidak dianggap sebagai pertandingan realiti.

"Ia sebuah kempen bertujuan mencetuskan anjakan baru kepada industri perfileman negara yang dilihat semakin kompetitif dan berdaya saing. Insya-Allah kita merancang menjadikannya sebagai kempen tahunan.

"Hasilnya pasti kita akan dapat lihat dalam tempoh tiga hingga lima tahun lagi apabila pengarah generasi baharu yang dilatih sutradara berpengalaman berada di posisi mentor mereka kelak," katanya pada majlis pelancaran program itu di sini hari ini.

Yusry pula berkata, usaha pihak terbabit dalam usaha mencari pelapis baharu di bidang pengarahan wajar dipuji.

Sebagai mentor, Yusry dan lima pengarah berkenaan perlu mengarahkan sebuah telefilem.

Selain itu, mentor turut membantu protege masing-masing mengarahkan karya mereka sendiri.

Telefilem yang diterbitkan di bawah projek ini menampilkan pelakon terkenal seperti Nur Fazura, Lisa Surihani, Remy Ishak, Fathia Latiff, Bront Palarae, Fizz Fairuz, Nora Danish, Kamal Adli dan ramai lagi.

"Ia peluang baik untuk pelajar menimba pengalaman. Saya anggap kerjasama strategik dijalinkan Astro dengan institusi pengajian tinggi ini patut diteruskan supaya kempen terbabit mampu memberi manfaat sama rata," kata Yusry yang mengarahkan telefilem berjudul Rong Ples, Rong Taim.

Karya 12 akan bersiaran pada Sabtu dan Ahad bermula 30 April ini, jam 10 malam di Astro Citra dan Astro Mustika HD.

Berita Harian X