Khamis, 14 April 2016 | 11:48pm

Sime Darby optimis capai sasaran RM775 juta

PASUKAN Sime Darby mewakili Malaysia di Pertandingan Anugerah Pasukan Antarabangsa Cemerlang (ITEA) ASQ 2016 yang diadakan sempena Persidangan Dunia mengenai Kualiti dan Kemajuan (WCQI) di Wisconsin, Amerika Syarikat, bermula 16 hingga 18 Mei ini. - Foto Sairien Nafis

KUALA LUMPUR: Sime Darby Bhd optimis mampu mencapai sasaran untuk meraih jumlah manfaat terkumpul RM775 juta menjelang tahun kewangan 2016/2017 menerusi pelaksanaan program Lean Six Sigma (LSS).

Program yang diperkenalkan konglomerat itu pada 2013 adalah strategi pengurusan perniagaan untuk meningkatkan pendapatan, mengurangkan kos dan meningkatkan kualiti produk menerusi pembuangan sisa, kecacatan dan kesilapan.

Ketua Kecemerlangan Operasi Sime Darby, Azman Shah Mohamed Noor, berkata dalam tempoh tiga tahun pelaksanaan program itu, pihaknya sudah mencatatkan jumlah manfaat lebih RM400 juta.

Katanya, program itu dilaksanakan secara menyeluruh merentasi semua bahagian perniagaan kumpulan yang membabitkan kumpulan pekerja yang terlatih dan bermotivasi melaksanakan projek mengikut set langkah mencapai sasaran khusus dalam penjimatan kewangan.

"Berdasarkan prestasi semasa, kami yakin mampu mencapai sasaran jumlah manfaat terkumpul RM775 juta lebih awal," katanya selepas majlis penyerahan bendera Malaysia kepada Pasukan Sime Darby dikenali Carey Owl Knights di sini, hari ini.

Pasukan itu akan mewakili Malaysia di Pertandingan Anugerah Pasukan Antarabangsa Cemerlang (ITEA) ASQ 2016 yang diadakan sempena Persidangan Dunia mengenai Kualiti dan Kemajuan (WCQI) di Wisconsin, Amerika Syarikat, bermula 16 hingga 18 Mei ini.

Pada majlis itu, turut diadakan penyampaian Anugerah Juara Industri bagi Produktiviti, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) kepada Sime Darby oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) serta penyampaian penghargaan kepada Azman Shah berikutan sumbangan beliau terhadap pembentukan Pelan Hala Tuju Produktiviti Nasional.

Anugerah juara produktiviti itu disampaikan Ketua Pengarah MPC, Datuk Mohd Razali Hussain kepada Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Tan Sri Mohd Bakke Salleh. Hadir sama, Ketua Pegawai Kemampanan Kumpulan Sime Darby, Dr Simon Lord.

Sime Darby adalah antara empat organisasi Malaysia yang akan mewakili negara di WCQI yang dianjurkan oleh American Society for Quality (ASQ) dan adalah kali kedua bagi konglomerat itu mewakili Malaysia bagi pertandingan ITEA ASQ 2016.

Dalam perkembangan lain, Mohd Razali berkata, MPC menjadikan Sime Darby sebagai model utama dalam pelaksanaan program LSS yang mana ia akan diguna pakai oleh syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini.

Beliau berkata, ia bertujuan untuk meningkatkan tahap produktiviti PKS tempatan serta meningkatkan kecekapan operasi mereka.

Berita Harian X