Rabu, 29 Oktober 2014 | 2:54pm

Kepesatan industri produk halal wujud kelas baharu ekonomi dunia - Najib

Daripada Mutazar Abd Ghani di Dubai

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak melancarkan laman web zilzar.com sempena Forum Ekonomi Islam Sedunia Ke-10 (WIEF Ke-10) di Dubai, hari ini. - Foto BERNAMA

PERKEMBANGAN pesat industri produk halal dan kewangan Islam kebelakangan ini mewujudkan kelas baharu aktiviti ekonomi dunia dan ia sejajar dengan kematangan ekonomi Islam global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata dengan gabungan nilai sebanyak AS$7 trilion (RM22.4 trilion), industri produk halal dan kewangan Islam kini muncul sebagai blok ekonomi keempat terbesar dunia.

Katanya, industri halal yang merangkumi pelbagai produk, daripada makanan hinggalah farmaseutikal, menawarkan potensi cukup besar untuk berkembang pada masa depan memandangkan kini terdapat lebih daripada 1.8 bilion umat Islam, yang tinggal di 150 negara seluruh dunia.

"Di Malaysia, barangan dan perkhidmatan yang disahkan halal boleh diperoleh di mana-mana dan ia digunakan oleh semua orang, tanpa mengira agama.

"Malah, kepelbagaian kita adalah salah satu sebab mengapa Malaysia begitu menonjol dalam pasaran halal global. Kita juga memperkenalkan produk patuh Syariah, yang juga mesra pengguna dan masa sama membangunkan institusi untuk menyokong mereka," katanya ketika berucap merasmikan Zilzar.com yang diadakan di luar sesi Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) ke-10 di sini, hari ini.

DATUK Seri Najib Razak ketika berucap merasmikan Zilzar.com yang diadakan di luar sesi Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) ke-10 di sini, hari ini. - Foto BERNAMA

Hadir sama Pengerusi Yayasan WIEF, Tun Musa Hitam dan Pengerusi Zilzar, Datuk Dr Hassan Abdul Razack.

Zilzar.com ialah platform baharu dalam talian (online) yang direka untuk memudahkan peniaga halal di seluruh dunia mengendalikan perniagaan secara beretika dan cekap.

Platform e-dagang itu digunakan untuk menghubungkan berjuta-juta pengguna, yang menawarkan perniagaan pasaran gaya hidup Muslim yang dianggarkan bernilai AS$2.5 trilion (RM8 bilion).

Berita Harian X