Jumaat, 15 April 2016 | 3:37pm

Wanita dibunuh kerana mahu putus hubungan

MAYAT wanita ditemui mati dalam gaung di Kilometer 19, Jalan Gombak Lama menghala Genting Sempah, Ahad lalu.

SERDANG: Seorang wanita yang ditemui mati dengan tangan dan kakinya terikat dalam gaung di Kilometer 19, Jalan Gombak Lama menghala Genting Sempah, Ahad lalu, dibunuh teman lelakinya.

Ia berikutan tindakan mangsa yang dikatakan ingin mengakhiri hubungan dengan lelaki berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abd Rahim Jaafar, berkata perkara itu dinyatakan menerusi pengakuan suspek yang ditahan dua hari selepas kejadian.

Katanya, mangsa dipercayai dibunuh di rumah lelaki itu di Sri Gombak sebelum mayatnya dibuang ke gaung itu.

"Suspek berusia lingkungan dalam 20-an dan kini direman bagi membantu siasatan.

"Berdasarkan keterangan awal, suspek mendakwa melakukan perbuatan itu namun siasatan masih dilakukan, termasuk kemungkinan ada pembabitan individu lain dan senjata digunakan," katanya.

Beliau ditemui selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Serdang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di sini, pagi tadi.

Dalam kes berasingan, Abd Rahim berkata polis yakini dapat menahan saki-baki suspek kes samun bersenjata, dipercayai warga asing yang melarikan diri selepas tiga rakan mereka ditembak mati di sebuah blok tinggal Kondominium Highland Towers dekat Ampang, Selasa lalu.

"Berdasarkan siasatan dan semakan, suspek dipercayai terbabit dalam 10 kes samun dengan sembilan di Selangor dan satu di Mentakab, Pahang.

"Kita percaya mereka masih ada di sekitar Selangor dan dapat ditahan tidak lama lagi," katanya.

Berita Harian X