Jumaat, 15 April 2016 | 3:37pm

Bekalan air Pulau Pinang hanya bertahan 2 bulan

JASENI pada sidang media ketika melawat Air Terjun Pulau Pinang di Loji Saringan Air Terjun Taman Botani, hari ini. - Foto BERNAMA
JASENI pada sidang media ketika melawat Air Terjun Pulau Pinang di Loji Saringan Air Terjun Taman Botani, hari ini. - Foto BERNAMA

GEORGETOWN: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menjangkakan bekalan air di negeri ini bertahan hingga Jun ini susulan fenomena El Nino.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Jaseni Maidinsa, berkata paras air di dua empangan negeri ini menunjukkan penyusutan ketara berikutan cuaca panas berpanjangan.

"Punca utama bekalan air di negeri ini ialah 80 peratus dari Sungai Muda, Kedah dan 20 peratus dari Empangan Teluk Bahang serta Empangan Ayer Itam.

"Justeru, Pulau Pinang dijangka menghadapi krisis air teruk jika kita tidak menerima hujan sehingga Jun," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, Kerajaan Pusat perlu segera melakukan pembenihan awan, terutama di kawasan kritikal.

Jaseni berkata, pihaknya terpaksa membuat kawalan dengan merendahkan tekanan air di seluruh negeri ini supaya air dapat disalurkan kepada pengguna setiap hari.

"Jika tekanan air adalah pada tahap biasa, air di negeri ini susut lebih cepat dan tidak mampu bertahan sehingga dua bulan.

"Sebelum ini ada yang menyatakan bekalan air cukup, namun cuba lihat apa yang berlaku di Empangan Timah Tasoh di Perlis," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X