Rabu, 29 Oktober 2014 | 3:49pm

Laluan pintas Plaza Tol Juru, Sungai Dua dikaji - Fadillah

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya mengkaji cadangan untuk membina laluan lintas bagi memudahkan pengguna Lebuhraya Utara-Selatan yang menuju ke utara supaya tidak perlu melalui Plaza Tol Juru dan Sungai Dua, Pulau Pinang.

Namun, Menterinya, Datuk Fadillah Yusof, berkata pelaksanaannya bergantung kepada kos pembinaan.

"Cadangan itu sedang diteliti Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) Jabatan Perdana Menteri," katanya semasa menjawab soalan Datuk Othman Abdul (BN-Pendang) semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Othman bertanya sama ada kerajaan bercadang untuk merobohkan Plaza Tol di Juru dan Sungai Dua bagi mengurangkan kesesakan teruk pada musim-musim perayaan.

Fadillah berkata, setakat ini kerajaan tidak berhasrat untuk menghapuskan kutipan tol di kedua-dua plaza tol itu.

"Ini kerana kadar tol di lebuh raya berkenaan telah disusun semula pada 2011, dengan pengguna masih menikmati kadar tol lebih rendah berbanding kadar sepatutnya mengikut perjanjian konsesi," katanya.

Beliau berkata, kementerian sedia maklum mengenai masalah kesesakan yang sering berlaku di lebuh raya berkenaan pada musim perayaan utama termasuk di kedua-dua plaza tol berkenaan dan sudah mengambil langkah-langkah perlu untuk mengurangkannya.

"Kementerian menetapkan perintah larangan ke atas kenderaan berat dan mengarahkan semua kerja pembinaan di lebuh raya itu dihentikan untuk tempoh masa tertentu pada musim perayaan utama," katanya.

Fadillah juga mengingatkan pengguna supaya menggunakan nasihat Cadangan Waktu Perjalanan yang dikeluarkan syarikat konsesi Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) sebagai panduan untuk mengatur perjalanan.

Terdahulu, beliau berkata kerajaan tidak berhasrat menawarkan diskaun 20 peratus untuk bayaran tol di Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah di Pulau Pinang.

"Ini kerana ia akan melibatkan implikasi kewangan yang perlu ditanggung kerajaan," katanya.

Menurutnya, kadar tol yang dikenakan adalah berpatutan dengan mengambil kira kos keseluruhan projek iaitu RM4.5 bilion bagi jambatan sepanjang 24km itu.

Beliau menjawab soalan Ng Wei Aik (DAP-Tanjong) yang bertanya sama ada kadar tol jambatan itu akan diselaras dengan kadar tol di Jambatan Pulau Pinang.

- BERNAMA

Berita Harian X