Jumaat, 15 April 2016 | 9:49pm

Sikap tak matang Hafidz punca kontroversi berlarutan - Uqasha

PELAKON, Uqasha Senrose dan Hafidz Roshdi. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
PELAKON, Uqasha Senrose dan Hafidz Roshdi. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

KUALA LUMPUR: Pelakon, Uqasha Senrose, melahirkan rasa terkilan apabila dipersalahkan dan didakwa menjadi punca kontroversi membabitkan dirinya dengan pelakon baharu, Hafidz Roshdi, berhubung isu cemburu yang dibangkitkan pemuda itu di laman sosialnya, baru-baru ini.

Bagi Uqasha, 24, sikap tidak matang Hafidz ketika berdepan dengan situasi itulah sebenarnya yang menjadi punca kontroversi terbabit berlarutan.

"Saya hairan kenapa orang hanya nampak seperti saya yang menjadi punca kontroversi itu, hanya berdasarkan satu status saya muat naik. Sedangkan selepas itu dia (Hafidz) memuat naik tiga status berbeza di laman sosialnya dengan ayat yang agak kasar bunyinya.

"Dia sepatutnya lebih matang dalam menangani situasi ini. Pada saya, tidak perlu rasanya untuk dia memberitahu mengenai perasaan cemburu tunangnya itu kepada khalayak. Ia akan lebih merumitkan keadaan dan mencalarkan reputasi tunangnya sendiri," kata Uqasha ketika ditemui pada majlis pratonton sedutan teater Ombak Rindu yang diadakan di Istana Budaya, petang tadi.

Menyedari kontroversi itu tidak perlu dipanjangkan, pemilik nama penuh Nik Zaris Uqasha Nik Sen ini memberitahu, beliau pernah cuba untuk menghubungi pelakon yang menjadi pasangannya dalam drama bersiri Tundukkan Playboy Itu, namun usahanya menemui kegagalan.

"Kalau boleh saya tidak mahu kontroversi ini berpanjangan dan ingin menyelesaikannya secepat mungkin. Saya pernah cuba menghubunginya namun panggilan telefon tidak berjawab dan mesej yang dihantar tidak berbalas. Iyalah, saya pun nak tahu juga apa puncanya sehingga berlaku perkara seperti ini," katanya.

Perang media sosial membabitkan kedua-duanya bermula apabila Hafidz berkongsi kisah tunangnya yang dikenali sebagai Mawar, cemburu dengan Uqasha.

Perkara itu membuatkan Uqasha memuat naik status di Twitter menyindir kenyataan berkenaan dan menganggap ia tidak patut dihebahkan kepada media. Malah, Uqasha turut menjelaskan apa yang dilakukannya bersama Hafidz adalah sekadar lakonan.

Uqasha juga menyatakan, perkara itu sudah lama disimpan, namun ia dilihat semakin menjadi-jadi. Luahannya itu turut mendapat pelbagai reaksi daripada peminat dan netizen.

Sindiran itu bagaimanapun membuatkan Hafidz bengang, yang kemudiannya menyaksikan beliau memuat naik status di laman sosial menyuarakan rasa tidak puas hatinya terhadap aktres terbabit.

Bagaimanapun 'posting' berkenaan sudah pun dipadamkan.

Berita Harian X