Jumaat, 15 April 2016 | 9:59pm

APMM patahkan cubaan seludup keretek RM300,000


KETUA Penguatkuasa Maritim Daerah Maritim Klang, Kapten Mohd Rosli Abdullah (tengah) menunjukkan sebahagian daripada rokok keretek yang berjaya dirampas. - Foto BERNAMA

PELABUHAN KLANG: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup rokok keretek bernilai RM300,000 di perairan Kuala Sungai Langat, Kuala Langat, awal pagi tadi.

Dalam rampasan kira-kira jam 5.30 pagi itu, kira-kira 2,300 karton rokok seludup berjaya dirampas bersama bot pancung yang digunakan penyeludup berkenaan. 

Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah Maritim Klang, Kapten Mohd Rosli Abdullah, berkata bagaimanapun tiga suspek iaitu tekong dan awak-awak bot pancung itu berjaya melarikan diri ke kawasan hutan bakau di kawasan berkenaan.

"Kita tidak dapat mengenal pasti kewarganegaraan penyeludup berikutan keadaan ketika itu yang masih gelap, selain faktor lokasi yang dikelilingi paya bakau menyebabkan anggota gagal menjejaki ketiga-tiga mereka.

"Namun, kita percaya kumpulan ini datang dari arah Pulau Rupat, Indonesia dengan membawa rokok keretek berkenaan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam kes berasingan, Mohd Rosli berkata, APMM turut menahan empat bot nelayan Indonesia yang didapati menangkap ikan di perairan Malaysia, kira-kira 25 batu nautika dari Sekinchan, semalam.

Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, seramai 21 nelayan, termasuk empat tekong warga Indonesia berjaya ditahan.

"Semua yang ditahan berusia antara 20 hingga 57 tahun dan tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah.

"Semua yang ditahan dibawa ke jeti Daerah Maritim Klang dan ditahan reman sehingga 21 April ini untuk disiasat mengikut Seksyen 15 Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan atau cuba menangkap ikan di perairan Malaysia," katanya.

70 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »