Sabtu, 16 April 2016 | 12:21am
Dadah jenis Syabu. - Foto Mohd Khidir Zakaria
Klien yang menjalani rawatan pemulihan di Klinik Cure & Care 1Malaysia, Papar, Mohd (bukan nama sebenar). - Foto Malai Rosmah Tuah
Klien yang menjalani rawatan pemulihan di Klinik Cure & Care 1Malaysia, Papar, Irah (bukan nama sebenar). - Foto Malai Rosmah Tuah
Suasana sebahagian klien yang menjalani rawatan pemulihan di Klinik Cure & Care 1Malaysia, Papar. - Foto Malai Rosmah Tuah
Pembimbing rakan sebaya (PRS) yang juga bekas klien di Klinik Cure & Care 1Malaysia, Papar, Lia (bukan nama sebenar). - Foto Malai Rosmah Tuah
Sebahagian klien yang menjalani rawatan pemulihan di Klinik Cure & Care 1Malaysia, Papar. - Foto Malai Rosmah Tuah

Rawat ketagihan dadah dalam tempoh enam bulan

PAPAR: Konsep pemulihan penagihan dadah secara sukarela yang dilaksanakan di Klinik Cure & Care 1Malaysia mampu memberi pemulihan hanya dalam tempoh enam bulan.

Pengarah Klinik Cure & Care 1Malaysia, Papar dan Cure & Care Rehabilitation Centre, Papar (CCRC), Tugiman Kayun, berkata berdasarkan jumlah mereka yang dirawat secara "inpatient" di situ sejak pusat itu ditubuhkan pada 2010, konsep itu menampakkan kejayaan menerusi kaedah rawatan, keagamaan, psikologi dan motivasi.

Sejak Januari 2011, CCRC yang dikendalikan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) itu merawat 1,097 klien termasuk 115 daripadanya wanita menjalani pemulihan secara `inpatient' di situ.

Menerusi CCRC, penagih dadah, khususnya yang baharu terjebak termasuk pelajar, secara sukarela akan mendapatkan rawatan atau diminta oleh keluarga masing-masing


Suasana sebahagian klien yang menjalani rawatan pemulihan di Klinik Cure & Care 1Malaysia, Papar. - Foto Malai Rosmah Tuah

Katanya, penerimaan masyarakat untuk menjalani rawatan di klinik itu membuktikan ramai penagih dadah mahu pulih di pusat rawatan menggunakan pendekatan baharu itu.

"Kita bukan saja memberi rawatan pemulihan, malah ada antara pelanggan (bekas penagih) menjadi pembimbing rakan sebaya (PRS) selepas menjalani rawatan.

"Ketika ini, ada empat bekas pelanggan termasuk seorang wanita menjadi PRS di klinik ini," katanya kepada BH.

Katanya, bagi penagih syabu, tidak ada ubat khusus untuk mengubatinya sebaliknya pelatih akan diberi motivasi dan kaunseling bagi menghilangkan ketagihan.

Bagi tempoh Januari hingga Mac lalu pula, seramai 29 pelanggan dengan lima daripadanya wanita menerima rawatan di klinik itu secara `inpatient'.


Suasana sebahagian klien yang menjalani rawatan pemulihan di Klinik Cure & Care 1Malaysia, Papar. - Foto Malai Rosmah Tuah

Berdasarkan perangkaan klinik itu, pelanggan yang tidak bekerja adalah jumlah tertinggi menerima rawatan iaitu 370 orang, diikuti buruh am (272) dan bekerja sendiri (125 orang), sejak ia mula beroperasi lima tahun lalu.

Tinjauan ke klinik itu mendapati pelbagai aktiviti diadakan termasuk sesi motivasi dan mendengar ceramah agama, selain program moral kepada klien bukan beragama Islam.

Penolong Pegawai Antidadah / Penolong Pegawai Pemulihan klinik berkenaan, Jubaidah Kasan, berkata penerimaan masyarakat dengan perkhidmatan klinik itu semakin terbuka dan baik.

"Ia mungkin tempoh rawatan yang pendek sekali gus baik kepada pelanggan yang bekerja atau masih belajar. Sebelum ini, pakej rawatan pemulihan ditawarkan ada tiga kategori iaitu selama sebulan, dua bulan dan tiga bulan.

"Namun sejak Disember lalu, klien perlu menjalani rawatan selama empat hingga enam bulan. Setakat ini tiada masalah kepada mereka yang bekerja atau belajar," katanya turut menggalakkan mereka yang terbabit dengan penagihan dadah datang secara sukarela untuk mendapatkan rawatan selain dihantar oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).


Penolong Pegawai Antidadah dan Penolong Pegawai Pemulihan, Klinik Cure & Care 1Malaysia, Papar, Jubaidah Kasan (kiri) bersama Pembimbing rakan sebaya (PRS) yang juga bekas klien di Klinik Cure & Care 1Malaysia, Papar, Lia (kanan). - Foto Malai Rosmah Tuah

Sementara itu, seorang PRS mengakui rawatan di klinik itu banyak membantu memulihkan mereka daripada terus terbabit dengan penagihan syabu.

Mohamad, 45, (bukan nama sebenar) dari Sembulan di Kota Kinabalu, mengakui kehidupannya kini lebih bermakna selepas terbabit dalam pelbagai aktiviti penagihan dadah, syabu, ubat batuk dan ganja lebih 10 tahun lalu.

"Jika diingat kehidupan lalu, ia amat mengecewakan dan saya terbabit dengan gejala tidak sihat ini ketika berusia belasan tahun. Walaupun pernah berhenti sekejap, tetapi keinginan atas `benda' itu menyebabkan saya terus terjebak. Saya bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji RM950 sebulan," katanya.

PRS, Lia (bukan nama sebenar), 21, berkata lima tahun lalu dia sanggup meninggalkan keluarga apabila lari dari rumah semata-mata mahu tinggal bersama kekasihnya yang juga "tokan dadah" lantaran hilang pertimbangan diri kerana ketagihan syabu.

Pada ketika itu usianya yang baru mencecah 17 tahun, anak bongsu daripada lima beradik berasal dari Kudat itu turut mengandung anak luar nikah, selain dibuang sekolah serta tidak sempat mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Bagaimanapun, keputusannya mendapatkan rawatan di Klinik CCRC pada tahun 2013, mengubah keseluruhan hidupnya apabila dapat kembali ke pangkal jalan.


Pembimbing rakan sebaya (PRS) yang juga bekas klien di Klinik Cure & Care 1Malaysia, Papar, Lia (bukan nama sebenar). - Foto Malai Rosmah Tuah

Lia mengakui, beliau datang secara sukarela ke AADK Kudat untuk mendapatkan nasihat selepas hilang punca dorongan nasihat daripada keluarga dan kenalan.

"Saya kemudian dihantar ke Klinik Cure & Care di sini pada Jun 2013 untuk mendapat rawatan selama sebulan. Selepas itu, saya masuk semula dan mengambil pakej rawatan selama empat bulan.

"Selepas habis rawatan, saya dilatih menjadi PRS selama enam bulan dan mula memikul tanggungjawab itu sejak tahun 2014 hingga sekarang.

"Sekurang-kurangnya dengan menjadi PRS, saya bersama pelatih lain saling berkongsi cerita atau pengalaman," katanya ketika ditemui BH di klinik berkenaan.

Lia adalah antara empat PRS berperanan membimbing dan memberi nasihat kepada pelatih yang menjalani rawatan pemulihan secara `inpatient' di klinik berkenaan ketika ini.

"Walaupun banyak berubah, saya mengakui masih kerap menangis apabila teringat kesilapan dan 'zaman gelap' dilalui suatu ketika dulu," kata ibu kepada seorang anak yang kini dijaga ibunya di kampung.

Sementara itu, Irah, 39, mengakui kegagalan dalam perkahwinan ketiganya, antara penyebab terbabit dengan syabu selepas hilang punca apabila anak lelaki hasil perkahwinan itu dibawa lari bekas suaminya ke Indonesia.

"Saya mengalami tekanan yang teruk selepas perkahwinan ketiga gagal ketika berusia 28 tahun. Selepas itu, saya mula berjinak-jinak dengan syabu yang `diperkenalkan' seorang kawan lelaki yang mendakwa `barang' itu boleh menghilangkan kesedihan.

gn4id:13103752

"Sejak itu, saya mula lupa diri, keluar hingga lewat malam dan abaikan anak-anak," katanya yang menjadi menjalani pemulihan di klinik berkenaan sejak sebulan lalu.

Bercerita lanjut, Irah berkata, tiga tahun bercerai dengan suami ketiga, dia berkahwin untuk kali keempat namun malangnya suaminya itu adalah pengedar syabu.

"Selepas suami keempat ditangkap, kereta saya pula disita, saya semakin tertekan dan sejak itu bukan saja saya mengambil syabu untuk menghilang tekanan, malah mula minum arak. Saya kemudian bercerai dan berkahwin dengan suami kelima pada Julai tahun lalu.

"Namun, perkahwinan kelima ini turut memberi masalah apabila suami yang mengaku bujang rupanya ada isteri dan dia hanya mahu mengikis duit saya," kata ibu kepada tujuh anak dan seorang cucu berusia setahun.

Irah mengakui, dia tidak pernah ditangkap sebelum ini sehinggalah pihak AADK mengambilnya ketika bekerja di sebuah pasar raya milik kakaknya.

"Ketika mula sampai di klinik ini, saya amat tertekan, tetapi apabila memikirkan anak-anak semakin membesar dan sudah ada cucu, saya rasa tiba masanya untuk berubah. Saya harap anak-anak gembira dengan perubahan ini dan mereka tidak lagi malu," katanya.

Berita Harian X